KUANTAN - Kekurangan diri kerana menghidap autisme tidak menghalang remaja 16 tahun untuk membantu mencari pendapatan keluarga dengan menjual kek dan muffin.
Niat Muhammad Adam Mukhriz Mohd Nor Safarul untuk mendapatkan wang bagi menyara hidup, selepas ibunya, Norazaemi Ibrahim, 47, disahkan menghidap penyakit tibi tulang sekitar September tahun lalu.
Norazaemi berkata, Adam berusia 11 tahun sudah mempunyai kemahiran membuat kek dan gemar memasak.
Dia mengakui mengambil kelas pembuatan kek dan kemudian mengajar Adam bagi menambah kemahiran dalam penghasilan kek dan muffin.
Menurutnya, Adam juga mempelajari sendiri menerusi video secara dalam talian, selain ilmu yang diajarnya.
"Pada awalnya kami banyak membuat video Adam memasak dan tidak sangka akhirnya ia menjadi bidang perniagaan buat Adam. Dia mula menerima tempahan daripada cikgu di sekolahnya serta beberapa pihak yang mengetahui tentang Adam.
"Antara kek yang mendapat sambutan ialah kek brownies dan congo bar. Kek dibuat menggunakan bahan-bahan premium,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Sungai Isap Perdana di sini, pada Jumaat.
Norazaemi kini hanya menggunakan kerusi roda berkata, ada antara rakannya yang mengetahui tentang kemahiran Adam lalu menawarkan untuk membantu Adam menjual keknya di sebuah kedai makan.
Ujarnya, sejak dari itu, kisah Adam mula mendapat perhatian ramai apabila kek muffin yang ditempatkan di kedai makan tersebut berserta nota ringkas tulisan Adam ditularkan beberapa pihak.
Bagaimanapun menurut Norazaemi, keadaan Adam yang menghidap autisme menghadkan tempahan yang boleh diterima.
"Adam ada mood juga. Jadi tempahan tidak boleh ambil banyak dan saya perlu susun jadual dia supaya dia ada masa senggang untuk bertenang dan berehat sebelum membuat kek semula.
"Setakat ini dalam sehari dia hanya boleh menghasilkan 150 biji muffin. Lebih daripada itu tidak boleh. Saya juga akan membantunya,” katanya.
Bercerita tentang latar belakang penyakit Adam, Norazaemi berkata, Adam mula dikesan menghidap sindrom Asperger pada usia 4 tahun.
"Ketika itu saya sudah mula menghantar Adam ke taska dan dimaklumkan oleh cikgu yang mengajarnya tentang kelainan yang dihadapi Adam yang tidak suka bergaul dengan anak-anak lain lalu meminta saya mendapatkan pemeriksaan doktor.
"Hasil pemeriksaan dan beberapa ujian yang dijalankan, doktor sahkan Adam menghidap autisme sindrom Asperger," katanya.
Norazaemi kemudiannya mengambil keputusan menghantar Adam mendapatkan pendidikan khas dan sudah mula merangka perjalanan Adam untuk persiapan di masa hadapan.
"Pada awalnya saya merancang untuk menghantar Adam menyambung pengajian di sebuah kolej yang menawarkan kemahiran kulinari, namun kerana kekangan diri saya, saya tangguhkan dulu hasrat itu sehingga saya pulih nanti,” katanya.
Norazaemi dalam pada itu merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah menghulurkan bantuan selain memberi sokongan terhadap perniagaan Adam.
Ibu tunggal kepada dua anak itu memaklumkan, dirinya yang juga pemegang kad orang kurang upaya (OKU) menerima bantuan sebanyak RM450 sebulan selain anak sulungnya, Nur Allisa Syahanin, 25, turut bekerja di sebuah kafe bagi membantu menyara keluarga.
"Setakat ini bantuan diberikan cukup buat kami sekeluarga selain pendapatan saya sebagai perunding bebas projek. Kami tidak mahu meminta-minta, namun bersyukur dengan setiap sumbangan yang dihulur pelbagai pihak.
"Adam mahu membuka sebuah kafe suatu hari nanti. Doakan Adam dapat mencapai cita-citanya itu suatu hari nanti,” katanya.