JOHOR BAHRU - Sebanyak 205,810 pengundi berdaftar akan memilih wakil rakyat mereka pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, hari ini.
Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), data itu merupakan angka yang diambil kira selepas proses pengundian awal selesai, Selasa lepas (5 September) melibatkan 831 pemilih polis dan penghantaran 304 undi pos, sebelum itu.
Tempoh 14 hari berkempen bagi kedua-dua PRK itu berakhir pada jam 11.59 malam tadi.
Tepat jam 8 pagi hari ini, 61 pusat mengundi akan dibuka, melibatkan 47 pusat mengundi dengan 294 saluran di Parlimen Pulai, manakala terdapat 14 pusat mengundi membabitkan 68 saluran di DUN Simpang Jeram, akan dibuka sehingga jam 6 petang.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan keadaan cuaca hujan di sebelah pagi di kedua-dua kawasan, manakala ribut petir pada waktu petang.
Kedua-dua PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram akan menyaksikan saingan tiga penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan calon Bebas.
Bagi Pulai, calon PH, Suhaizan Kayat akan bertemu Zulkifli Jaafar (PN) dan calon Bebas, Samsudin Mohamad Fauzi, manakala di Simpang Jeram, Nazri Abdul Rahman (PH) akan bertemu pakar bedah, Dr Mohd Mazri Yahya (PN) dan calon Bebas, S Jeganathan.
PRK kedua-dua kerusi tersebut diadakan susulan kekosongan luar jangka akibat pemergian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lepas. - Bernama