Peserta konvoi perlu jaga etika, patuhi peraturan jalan raya

Iklan
Lokman bercakap kepada pemberita ketika Operasi Khas Motosikal 2023 di Jalan Sultan Idris Shah pada Jumaat. - Foto Bernama

IPOH - Pengguna jalan raya khususnya peserta konvoi motosikal dinasihatkan agar sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas demi keselamatan diri dan pengguna jalan raya yang lain.

Pengarah Kanan Bahagian Penguatkuasa JPJ, Datuk Lokman Jamaan berkata, pihaknya komited dalam menjalankan tugas bagi memastikan keselesaan pengguna jalan raya dan kelancaran lalu lintas.

Iklan
Iklan

"Kita tidak pernah menghalang pengguna motosikal menggunakan jalan awam melakukan aktiviti riadah konvoi namun perlulah menjaga etika dan tidak melanggar undang-undang jalan raya.

"Berkonvoi itu tidak salah tetapi apabila mereka tiada lesen memandu, tiada insurans, lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh dan lain-lain kesalahan maka ia akan mengundang bahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain," katanya dalam sidang media sempena Operasi Khas Motosikal Tahun 2023 di sini, malam tadi.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai seorang peserta program RXZ Members 5.0 maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas dalam kemalangan di Kilometer (KM) 255.8, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) pada Jumaat.

Mangsa, Muhammad Luqman Misnan, 30, bersama dua lagi rakan dikatakan dalam perjalanan secara berkonvoi dari Kuantan menghala ke Gong Badak di Kuala Nerus sebelum motosikal jenis Yamaha RXZ dinaiki terbabas kira-kira jam 11 pagi.

Iklan

Sementara itu, Lokman berkata, sepanjang tempoh tujuh hari Operasi Khas Motosikal Tahun 2023 dilaksanakan JPJ, tahap pematuhan pengguna motosikal terhadap peraturan jalan raya masih belum berubah.

"Kebanyakan mereka masih gagal mematuhi lampu isyarat dan tidak memakai topi keledar dan ia merupakan satu kesalahan serius dan belum mencapai tahap yang memuaskan,” katanya menambah kesalahan tidak mematuhi lampu isyarat merupakan antara kesalahan utama.

Beliau berkata, operasi motosikal ini akan diteruskan sehingga penghujung bulan ini agar ia dilaksanakan dengan lebih efektif bagi mencapai sasaran pengurangan kadar kemalangan dan kematian di jalan raya. - Bernama