Barah perkauman landa bola sepak Eropah

Iklan
Mohamed Salah. Foto: Getty Images

KUALA LUMPUR - Sukan sewajarnya menjadi alat perpaduan, malangnya bola sepak khususnya di Eropah dicemari dengan kebencian.

Bola sepak dunia ketika ini sedang diduga dengan isu rasisme atau perkauman. Biarpun isu perkauman bukan perkara baharu, ia kini sedang membarah menjadi penyakit yang amat sukar untuk ditemui vaksinnya.

Iklan
Iklan

Penyerang Liverpool Mohamed Salah, dengan 22 gol di pentas Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini, beliau mungkin wira di kelabnya, namun hanya kerana dia berbangsa Arab, isu agama menjadi subjek hamburan penyokong ekstrem lawan ketika pasukannya melayan Chelsea dan West Ham baru-baru ini.

Beliau sering diherdik dengan kata-kata kesat, dan tidak cukup dicemuh di atas padang, beliau turut menjadi sasaran di laman sosial, sesuatu yang mengguris hati Mohamed Abdullah Zidan yang pernah beraksi bersama Salah dalam pasukan kebangsaan Mesir.

Iklan

"Apabila ia berlaku, ia adalah kerana peminat, mereka bertindak sedemikian agar pemain terganggu. Sudah tentu ia adalah tidak beradap, tidak bagus dan mengganggu perasaan,” kata bekas pemain Borussia Dortmund itu dalam satu temu bual bersama Bernama News Channel (Astro 502) baru-baru ini.

Salah bukan satu-satunya pemain yang menjadi mangsa perkauman dan provokasi melampau penyokong. Pemain kulit hitam dalam EPL antaranya Raheem Sterling, Chris Smalling, Ashley Young, Troy Deeney dan Danny Rose pernah diserang secara verbal, hanya kerana perbezaan warna kulit.

Iklan

Mungkin dunia tidak boleh lupa bagaimana penyerang dari Uruguay, Luis Suarez menghambur pertahanan Manchester United, Patrice Evra dengan perkataan 'negro', dan bekas penyerang Liverpool yang kini bersama Barcelona itu telah menikmati hukumannya, digantung lapan perlawanan.

Adakah ini yang terpaksa ditelan pemain-pemain hebat ketika populariti menghambat mereka, dan adakah ia berbaloi dengan status liga paling popular di dunia, ketika pemain terpaksa beraksi di bawah tekanan?

Bagi membuka mata dunia tentang tenatnya isu perkauman di Eropah, pada 19 April lalu, Persatuan Pemain Profesional (PFA) yang dianggotai bintang-bintang EPL melancarkan kempen memboikot media sosial selama 24 jam.

Jika EPL dilihat terlalu sakit, Liga Itali - Serie A sebenarnya lebih kejam.

Mario Balotelli ketika menyarung jersi AC Milan pernah meninggalkan padang sambil menangis, gara-gara mulut celupar penyokong yang tidak sensitif. Begitu juga Kalidou Koulibaly yang menyarung jersi Napoli dan Sulley Muntari ketika beraksi bersama Pescara, mereka diejek dan digelar monyet di tengah padang.

"Sukan menghubungkan orang ramai dan pemain. Kejayaan diraikan bersama-sama kerana ia adalah saat paling indah. Anda juga dapat saksikan orang ramai dari seluruh dunia gigih berusaha untuk beraksi dalam acara sukan dan permainan.

"Anda dapat lihat pemain dari Afrika bermain bersama pemain dari Eropah, Mesir dan Asia serta dari seluruh dunia. Apabila permainan dimulakan, anda boleh lihat 60 atau 70,000 penonton yang duduk bersama-sama untuk menyokong pasukan mereka,” kata Zidan.

Lebih parah, epidemik perkauman turut menular dalam kalangan pemain, lebih besar ia menjangkaui sehingga seluruh pasukan. Hakikatnya rasisme bukan sahaja boleh membunuh karier pemain, malah ia mampu merosakkan liga itu sendiri.

Selain EPL dan Serie A, dua lagi liga utama di Eropah iaitu La Liga di Sepanyol serta Bundesliga di Jerman, juga tidak terlepas daripada gejala perkauman.

Namun pendekatan Bundesliga dilihat paling berkesan untuk sekurang-kurangnya muncul antara liga yang paling minimum berlaku kes provokasi perkauman.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Bundesliga Antarabangsa Robert Klein, rasisme tidak mempunyai tempat dalam bola sepak atau mana-mana tempat di dunia.

Untuk itu, Bundesliga mempunyai sebuah syarikat sekutu yang dinamakan 'Shiftghon’ untuk menangani isu melalui kerja-kerja amal.

"Dan sepanjang musim, kami melakukan aktiviti yang berbeza, antaranya yang terbaru kami melancarkan kelab rasisme dan kami telah melakukannya selama dua tahun, memberikan nasihat dalam bola sepak, kehidupan, tidak ada perkauman dan sebagainya.

"Saya rasa kita harus mengawalnya...Saya fikir cara terbaik untuk mengatasi (sesuatu perbalahan) ialah dengan menjawabnya di padang, cari mereka yang bersalah dan hukum mereka,” katanya yang berada di Malaysia untuk menghadiri Sidang Kemuncak Bola Sepak Dunia minggu lepas.

Bundesliga adalah liga bola sepak profesional utama di Jerman dengan kehadiran stadium purata tertinggi di dunia.-Bernama