Nur Aiman tawan Tour Gateh D’Tranung 2023

Iklan
Nur Aiman (tengah) ketika dinobatkan sebagai juara keseluruhan Tour Gateh D’Tranung 2023 (TGDT23) yang berlangsung di jambatan angkat, di sini pada Jumaat malam. - Foto ihsan Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI)

ATLET Terengganu Polygon Cycling Team (TSG), Mohamad Nur Aiman Mohd Zariff muncul juara keseluruhan kategori individu terbaik (jersi biru) apabila berjaya mengekalkan momentum sehingga perlawanan akhir Tour Gateh D’Tranung 2023 (TGDT23) yang berlangsung di jambatan angkat, di sini pada malam Jumaat.

Pelumba bertaraf antarabangsa itu berjaya mencatat masa cemerlang 0:57:23 sekali gus membolot dua gelaran dalam perlumbaan yang melibatkan laluan sepanjang 145 kilometer (km).

Iklan
Iklan

Perlumbaan Tour Gateh D’Tranung 2023 peringkat kelima itu bermula dan berakhir di tengah jambatan angkat melibatkan 12 pusingan.

Nur Aiman yang merupakan anak jati Terengganu berjaya membuktikan kebolehan mengatasi pasukan lawan dengan menduduki tempat teratas dalam beberapa kategori perlumbaan dalam saingan sebelum ini.

Iklan

Selain berjaya mempertahankan gelaran raja bukit (jersi polkadot) dalam tiga perlawanan iaitu pada saingan pertama, keempat dan kelima, beliau berjaya mempertahankan kategori individu terbaik (jersi biru) sepanjang lima hari perlumbaan itu.

Nur Aiman yang juga pemenang jersi merah Raja Bukit Le Tour de Langkawi (LTdL) 2022 baru pulang dari perlumbaan di Iran dan menyifatkan perlawanan ini sebagai persediaan untuk berdepan kejohanan sama (LTdL) hujung bulan ini.

Iklan

Sementara itu, Pelumba TSS Racing, Muhammad Nur Aiman Rosli berjaya mempertahankan jersi hijau (raja pecut) sepanjang kejohanan itu.

Bagi jersi putih (pelumba terbaik bawah 21 tahun) dan jersi merah jambu (kelab tempatan terbaik) masing-masing dimenangi oleh pelumba Malaysia Pro Cycling (MPC), Muhammad Syawal Mazlin dan pelumba TSS Racing, Anuar Manan.

Tour Gateh D'Tranung 2023 melibatkan lima peringkat perlumbaan iaitu Elit, Raja Pecut, Raja Bukit, Kelab Tempatan dan Bawah 21 Tahun dengan melalui semua daerah di negeri ini serta menawarkan lima kategori utama.