IPOH - Mana-mana pihak tidak seharusnya menilai pengajaran Hadis 40 Imam Nawawi hanya berdasarkan terjemahan semata-mata tanpa memahami maksud sebenar yang ingin disampaikan.
Pendakwah terkemuka, Datuk Mohammad Kazim Elias berkata, pengajaran Hadis 40 Imam Nawawi di sekolah merupakan satu inisiatif yang amat baik dilaksanakan Kementerian Pendidikan.
Menurutnya, bagaimanapun penerangan dan huraian terhadap maksud hadis tersebut harus dilakukan betul supaya pelajar benar-benar memahami dan bukan membaca terjemahan sahaja.
"Cuma kena ada guru yang mengajar betul-betul. Kalau dapat dilaksanakan pengajaran hadis 40 itu, masyarakat di Malaysia semakin tahu tentang Islam," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pusat Pendidikan Al-Barakah, Gugusan Manjoi pada Sabtu.
Mohammad Kazim berkata, mengenai salah satu hadis yang menjadi pertikaian beberapa pihak bukan Islam, hadis tersebut tidak membawa maksud membunuh tetapi mempertahankan diri.
Menurutnya, disebabkan itu hadis berkenaan tidak boleh ditafsir melulus dengan hanya membaca terjemahan sahaja tetapi perlu dihurai untuk kefahaman sebenar.
"Maksud dalam bahasa Arab sangat luas satu perkataan membawa pelbagai maksud dan ini gunanya penerangan di sekolah. Kalau sekolah diajar penerangan yang betul, pelajar akan faham Islam dengan betul, cuma orang sekarang tak faham hanya tengok terjemahan hadis semata-mata sebagai contoh hadis kelapan.
"Maksud hadis itu bukan membunuh tetapi mempertahankan diri. Dalam terjemahan menggunakan perkataan memerangi, jadi orang bukan Islam anggap Islam pengganas. Maksud sebenar hadis itu, kalau negara Islam diserang oleh musuh hendaklah kamu mempertahankan negara kamu," katanya.
Sebelum ini beberapa portal melaporkan dakwaan Pengerusi Persatuan Hindu Agamam Ani Malaysia, Arun Dorasamy bahawa KPM telah mengeluarkan lima hadis daripada modul asal Hadis 40 Imam Nawawi.
Pada 19 Ogos lalu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek melancarkan modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi bertujuan memupuk penghayatan hadis bermula di peringkat sekolah lagi.
Modul tersebut akan mula dilaksanakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), sebelum diedarkan ke sekolah-sekolah di bawah KPM tahun depan.
Modul itu membolehkan guru dan pelajar mendapat penghayatan khususnya untuk memastikan nilai pesanan dan perkara baik dalam hadis dibaca dan dihayati.