Syor masukkan beras tempatan Sabah dalam senarai kawalan harga

Iklan
Armizan menunjukkan harga barang jualan Rahmah pada Program Jualan Rahmah Kampung Kawang di pekarangan Masjid Nurul Iman, Kampung Kawang, Papar pada Sabtu. - Foto Bernama

PAPAR - Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pihaknya telah mensyorkan supaya beras tempatan di Sabah dimasukkan dalam senarai barang kawalan harga bagi membantu rakyat di Negeri di Bawah Bayu itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) itu berkata, pihaknya telah mengemukakan mengenai perkara itu kepada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor bagi merealisasi hasrat itu.

Iklan
Iklan

"Disyorkan KPKM (Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan) mengadakan perbincangan dengan kerajaan Sabah untuk meneliti kesesuaian dan mempertimbangkan pindaan dibuat kepada perintah sedia ada bagi membolehkan harga beras tempatan di Sabah dimasukkan dalam senarai kawalan harga.

"Pindaan kepada perintah ini boleh disusuli dengan pertimbangan membawa bekalan beras putih tempatan dari Semenanjung ke Sabah untuk membolehkan rakyat di Sabah juga memanfaatkan alternatif harga beras yang lebih rendah melalui beras putih tempatan,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan ke Program Jualan Rahmah Kampung Kawang di Perkarangan Masjid Nurul Iman, Kampung Kawang di sini pada Sabtu.

Menjelaskan situasi itu, Armizan berkata, kawalan harga beras tempatan terletak di bawah bidang kuasa Persekutuan melalui Kawal Selia Padi dan Beras, KPKM.

Iklan

Beliau berkata, punca kuasa perkara itu merujuk kepada Akta Kawalselia Padi dan Beras (Akta 522) 1994, Perintah Beras (Kawalan Gred dan Harga) (Pindaan) (No.5) 2008, bagaimanapun beras tempatan Sabah tidak termasuk dalam senarai dikawal harga.

Katanya, ini kerana pihaknya difahamkan industri beras tempatan di Sabah sedikit berbeza dengan Semenanjung sebagai contoh kapasiti saiz kilang padi, daya kecekapan dan daya saing antara pengilang-pengilang di Sabah adalah lebih rendah berbanding Semenanjung.

"Tahap infrastruktur berbeza ditambah cabaran musim banjir juga memberi kesan kepada kualiti pengeluaran padi. Kaedah agihan subsidi juga berlainan sebagai contoh benih padi di bawah bidang kuasa kerajaan negeri. Atas sebab itu, harga beras tempatan di Sabah tidak termasuk dalam perintah pengawalan.

"Selain mengambil kira kadar penghasilan padi rendah lima peratus serta kos pengeluaran padi yang tinggi, harga jualan beras tempatan Sabah adalah lebih tinggi dan tidak dikawal harganya. Ini bertujuan untuk menyokong industri beras tempatan Sabah terus kekal mampan dan berdaya saing,” katanya.

Sementara itu, Armizan berkata, pihaknya sedang berusaha untuk mengadakan Jualan Rahmah sebanyak dua kali sebulan di lebih 600 Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh negara bagi membantu rakyat yang terkesan dengan kenaikkan harga barang keperluan.

"Inisiatif ini susulan peruntukan tambahan RM50 juta untuk memperluaskan Jualan Rahmah seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 30 Julai lalu, bagi menawarkan barang keperluan dengan harga sehingga 30 peratus lebih murah daripada harga pasaran setempat,” katanya. - Bernama