Pasukan dikir barat SK Subang Bestari 2 raih kemenangan berganda

Iklan
Pasukan lelaki SK Subang Bestari 2, U5 Shah Alam muncul johan Pertandingan Dikir Barat Karnival Pendidikan Sinar Bestari yang diadakan di Kompleks Karangkraf pada Sabtu. - FOTO MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH

SHAH ALAM - Pasukan dikir barat Sekolah Kebangsaan (SK) Subang Bestari 2 mencipta sejarahnya tersendiri apabila muncul johan kategori sekolah rendah Pertandingan Dikir Barat Karnival Pendidikan Sinar Bestari, pada Sabtu.

Selepas hadiah utama dirangkul pasukan lelaki, pasukan perempuan sekolah berkenaan juga berjaya mengungguli tempat ketiga menerusi kategori sama.

Iklan
Iklan

Pertandingan yang diadakan pada hari kedua karnival anjuran Kumpulan Karangkraf itu membolehkan pasukan sekolah itu membawa pulang trofi, hamper dan sijil kemenangan.

Pengalaman manis turut ditempa apabila sekolah itu turut memenangi anugerah tok jogho terbaik dan awak-awak terbaik, sekali gus menewaskan lima sekolah lain.

Iklan

Manakala SK Sungai Binjai, Meru berpuas hati sebagai naib johan selepas berjaya mengungguli takhta muzik dan tukang karut terbaik pertandingan.

SK Sungai Binjai, Meru muncul naib johan Pertandingan Dikir Barat Karnival Pendidikan Sinar Bestari yang diadakan di Kompleks Karangkraf, pada Sabtu. - FOTO MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH

Jurulatih pasukan dikir barat SK Subang Bestari 2, Dasuki Mohamed berkata, kejayaan itu berkat usaha dan kerjasama murid, guru, ibu bapa dan Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) sekolah.

Iklan

"Kami berlatih selama tiga minggu dengan penglibatan seramai 39 orang dari murid darjah lima dan juga enam dan ini kali pertama kami menang berganda sejak pasukan dikir barat sekolah ditubuhkan lima tahun lalu," katanya.

Sementara itu, jurulatih pasukan dikir barat SK Sungai Binjai, Norhasnida Yaakub berkata, meskipun sebagai naib johan ia adalah kemenangan berbaloi kerana pasukan sekolah itu berlatih selama empat hari sahaja.

"Terima kasih kepada murid yang beri komitmen tinggi, begitu juga ibu bapa, guru dan PIBG yang banyak membantu melancarkan latihan sehinggalah ke hari pertandingan," katanya

Tambahnya, pasukan seramai 20 orang di bawah kelab kebudayaan itu terdiri daripada murid darjah empat, lima dan enam

"Terima kasih kepada Sinar Karangkraf kerana berjaya menganjurkan program mencungkil bakat seperti ini," ujarnya.

Pasukan perempuan dari SK Subang Bestari 2,U5 Shah Alam ungguli empat ketiga Pertandingan Dikir Barat Karnival Pendidikan Sinar Bestari yang diadakan di Kompleks Karangkraf pada Sabtu. - FOTO MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH

Pertandingan berkenaan turut menyaksikan SK Sungai Pelong dan SK Sungai Tua Baharu turut bersaing bagi kategori sama namun terpaksa berpuas hati di tempat keempat dan kelima.

Sementara itu, Pengarah Projek Karnival Pendidikan Sinar Bestari, Meen Tahrin berkata, setiap pasukan perlu menerapkan elemen pendidikan, perpaduan dan juga unsur nasihat sesuai dengan tema karnival iaitu 'Memacu Pendidikan Generasi Digital'.

Menurutnya, asas penjurian meliputi aspek keseragaman gaya, pakaian, kombinasi dan kemahiran bermain alat muzik.

"Sebanyak lima pasukan sekolah menengah dan tiga pasukan sekolah rendah menyertai pertandingan yang hadir bersama guru pengiring dan juga penyokong masing-masing," katanya.

Jelasnya, apa yang penting pasukan bertanding dapat merasai pengalaman baru kerana ada pasukan yang baru ditubuhkan.

"Walaupun kekangan masa dengan kelas dan sebagainya tapi semangat, komitmen yang ditunjukkan guru dan murid amat membanggakan," ujarnya.