Dua pelajar India tak kekok buat persembahan dikir barat

Iklan
SMK Seksyen 10 Kota Damansara dinobat pemenang bagi Pertandingan Dikir Barat Peringkat Sekolah Menengah pada Karnival Pendidikan Sinar Bestari, Sabtu.

SHAH ALAM - Dua pelajar India dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 10 Kota Damansara tidak kekok membuat persembahan pada Pertandingan Dikir Barat di Karnival Pendidikan Sinar Bestari di Kompleks Kumpulan Karangkraf, Seksyen 15 di sini pada Sabtu.

Dua pelajar berkenaan, C Vreshvanan, 14, dan M Arun Prasat, 14, bermain alat muzik marakas dan gendang anak mengiringi persembahan bertemakan Hari Kemerdekaan.

Vreshvanan

Iklan
Iklan

Vreshvanan berkata, dia menyertai dikir barat selepas dipelawa seorang guru yang mencari peserta bagi mewakili sekolah dalam satu pertandingan pada tahun lepas.

"Saya bermula dengan main gendang anak, kali ini main marakas pula. Saya jadi seronok dan kalau boleh mahu lebih serius mendalami seni dikir barat ini selepas ini," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Iklan

Pada pertandingan tersebut, SMK Seksyen 10 Kota Damansara dinobat pemenang kategori sekolah menengah manakala tempat kedua milik SMK Jalan Bukit dan ketiga, SMK Subang Bestari.

Pada program sama, SMK Seksyen 10 Kota Damansara turut menang kategori Tukang Karut Terbaik dan Tok Jogho.

Iklan

Vreshvanan berkata, selain minat dia gembira kerana dapat mendalami seni tradisional orang Melayu.

Danish Arshad

Sementara itu, Danish Arshad Mohd Rizal 14, yang berperanan sebagai Tukang Karut berkata, aktiviti padat di sekolah menyebabkan mereka perlu mencuri masa untuk berlatih secara berkumpulan bagi memahirkan loghat Kelantan.

"Mak ayah saya orang Johor jadi untuk mahirkan seni tersebut, saya banyak merujuk kepada senior yang lebih dahulu sertai dikir barat selain bantuan guru pengiring.

"Selain itu, minat saya kepada lagu dan muzik Kelantan menjadikan proses memahirkan loghat Kelantan itu menjadi sedikit mudah.

"Saya harap orang luar dapat sama-sama bangkitkan warisan lama ini supaya tidak tenggelam dengan peredaran zaman," katanya.

Sementara itu jurulatih merangkap guru pengiring SMK Seksyen 10 kota Damansara, Mohd Rashimi Mohamad berkata, 20 pelajar terlibat membuat persiapan selama dua bulan untuk menyertai Pertandingan Dikir Barat itu.

Ujarnya, tugas menjadi sedikit mudah susulan persembahan dikir barat telah dibuat di peringkat sekolah sempena bulan Kemerdekaan dan diperkemaskan lagi untuk persiapan pertandingan berkenaan.

"Dikir barat sekolah telah ada sejak tahun lepas cuma pada tahun ini hanya tiga muka lama dikekalkan sementara peserta lain kebanyakan terdiri pelajar baru yang membuat persiapan dalam tempoh kurang bulan.

"Kami ambil masa dua jam selepas tamat sesi sekolah untuk membuat latihan disebabkan jadual pelajar agak padat dengan aktiviti lain.

"Alhamdulillah latihan singkat ini mendatangkan hasil selepas diumumkan sebagai pemenang," katanya.

Beliau pada masa sama menyokong usaha diadakan pertandingan dikir barat peringkat sekolah dalam usaha memartabatkan seni budaya lama.

"Pandangan saya bagus pertandingan seperti ini dirancakkan sebab dapat cungkil bakat baharu yang bukan hanya untuk masyarakat Kelantan tetapi juga orang luar.

"Sekurang-kurangnya orang luar khususnya pelajar dapat belajar bahasa Kelantan dan tahu seni budaya muzik orang Pantai Timur," katanya.