SHAH ALAM - Kepelbagaian aktiviti yang disediakan di Karnival Pendidikan Sinar Bestari menarik minat ibu bapa untuk turut bersama mengikuti program dijalankan kerana ia memberi pendedahan baik untuk anak-anak.
Suri rumah, Siti Roshazar Zolkifli, 38, berkata, kebanyakan aktiviti yang diadakan di karnival itu sesuai dengan pelbagai peringkat umur tidak kira muda dan tua.
"Biasanya pada hujung minggu saya dan suami akan membawa anak-anak pergi ke taman atau tempat yang boleh mereka melakukan apa-apa aktiviti.
"Saya tertarik dengan konsep karnival ini kerana ia mengetengahkan aspek pendidikan kanak-kanak yang mana ia bagus untuk perkembangan minda, keyakinan diri serta kebolehan mereka berhadapan orang ramai,” katanya ketika ditemui di pekarangan Kompleks Karangkraf pada Sabtu.
Ibu kepada dua orang anak itu berkata, anak-anaknya teruja kerana dapat menghabiskan waktu hujung minggu di karnival tersebut.
Menurut Siti Roshazar, kebanyakan aktiviti yang diadakan baik untuk pembentukkan keperibadian anak-anak supaya berani mencuba perkara baharu.
Sementara itu, Nurhidayah Asri, 36, berkata, aktiviti yang melibatkan penglibatan orang ramai sebenarnya baik untuk perkembangan anak-anak.
"Jadi anak-anak hanya membesar di dalam rumah sahaja. Oleh itu, saya mengambil kesempatan ini untuk membawa anak-anak mengikuti acara yang sesuai dengan umur mereka,” katanya.
Tambah Nurhidayah, dia mahu memanfaatkan waktu cuti dengan sebaik-baiknya kerana kesibukan bekerja menjadi penghalang anak-anak untuk melibatkan diri ke mana-mana acara.
Katanya lagi, penglibatan anak-anak ke karnival ini akan membantu dia untuk melihat kecenderungan minat mereka dalam aspek kokurikulum dan kurikulum.