Had beli beras tempatan 100kg beri kesan pengusaha makanan - Cake

Iklan
Seorang pekerja syarikat beras sibuk menyusun dan menambah stok beras di sebuah pasar raya. Gambar hiasan (Gambar kecil: Mohamad Yusrizal Yusoff)

ALOR SETAR - Penetapan had pembelian maksimum 100 kilogram (kg) beras putih tempatan dikhuatiri memberi kesan dan mendorong pengusaha industri makanan menaikkan harga makanan.

Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, penetapan peraturan tersebut perlu dilihat semula dengan lebih teliti memandangkan ia tidak hanya melibatkan individu tetapi juga industri makanan.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, pengusaha industri makanan seperti kantin sekolah yang mempunyai pelajar yang ramai contohnya memerlukan bekalan beras yang banyak setiap hari bagi menampung keperluan pengguna di premis mereka.

"Langkah kerajaan untuk mengehadkan beras tempatan 100kg kepada individu tidak memberi kesan kepada pengguna kerana tidak mungkinlah isi rumah membeli sehingga 100kg beras untuk bekalan di rumah mereka.

Iklan

"Namun, mengehadkan pembelian beras tempatan 100kg kepada industri makanan seperti kantin, restoran dan sebagainya membawa impak kepada mereka," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Beliau turut menzahirkan kebimbangan sekiranya pengusaha industri makanan perlu menaikkan harga makanan kerana menggunakan beras import.

"Jadi, ia akan menyebabkan kerugian kepada mereka (pengusaha industri makanan) dan mereka terpaksa naikkan harga.

Iklan

"Akhirnya, ia akan berbalik kepada perbelanjaan pengguna dan inilah yang akan menjadi masalah," katanya.

Dalam perkembangan sama, Mohamad Yusrizal berkata, pihak Cake termasuklah pengguna tertanya-tanya ke manakah 'menghilang' beras putih tempatan di pasaran.

"Mengikut data, bekalan (sepatutnya) berada di pasaran sebanyak 70 peratus tetapi kini beras tempatan itu tiada di pasaran.

"Jikalau hendak cakap pengguna membeli dan menyimpan beras, ini saya rasa tidak adil dan tidak berlaku disebabkan beras bukan boleh bertahan lama," katanya.

Menurut beliau lagi, pihaknya mendapati hanya ada beras import dijual di pasaran ketika ini, manakala kebanyakan beras putih tempatan sukar diperoleh.

"Sekiranya kerajaan boleh menjamin bahawa bekalan beras 70 peratus berada di pasaran, maka ia mencukupi kepada rakyat dan tidak akan berlaku kekurangan bekalan beras tempatan ini," katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan mengambil langkah proaktif dengan membekalkan sebanyak 70 peratus bekalan beras tempatan di pasaran sekali gus yakin ia akan memberi impak positif kepada pasaran beras.

Tambah Mohamad Yusrizal, pihaknya juga akan memantau perkembangan langkah penetapan had pembelian terbabit untuk melihat tahap keberkesanan dalam memastikan bekalan mencukupi.

"Kita tidak mahu bekalan (beras tempatan) jadi macam minyak masak dan gula. (Sekarang) ada gula premium di pasaran. Kebanyakan kedai menjual gula premium dan pengguna terpaksa beli dengan RM4.60 sekilogram," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menetapkan had pembelian maksimum 100kg beras putih tempatan (BPT) bagi setiap pengguna berkuat kuasa serta-merta.

Ketua Pengarah Kawalselia Padi dan Beras, Datuk Azman Mahmood berkata,langkah itu dibuat bagi menstabilkan bekalan tersebut.