World Kids #QuranHour terapkan nilai-nilai Al-Abrar

Iklan
Kru, peserta bersama keluarga menunjukkan sokongan program World Kids #QuranHour 2023 sempena Karnival Pendidikan Sinar Bestari di Studio My #QuranTime, Kumpulan Karangkraf, Shah Alam pada Sabtu.

SHAH ALAM - Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) menganjurkan World Kids #QuranHour bertemakan GenQ, Legasi Al-Abrar sempena Karnival Pendidikan Sinar Bestari di Studio My #QuranTime, Kumpulan Karangkraf, pada Sabtu.

Seramai 100 murid dari 24 sekolah rendah di Lembah Klang menyertai program berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal itu yang bersiaran langsung di platform digital Facebook Quran Hour.

Iklan
Iklan

Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff berkata, World Kids #QuranHour menyasarkan golongan kanak-kanak untuk mendekati al-Quran melalui baca, faham dan amal dengan mengambil Surah Al-Insan sebagai surah utama dalam membawa tema Memanusiakan manusia (Humanising the Ummah).

Antara peserta kalangan murid sekolah mengikuti program berinteraksi dengan al-Quran selama sejam.

"Tema tersebut membawa agenda Humanising the Home, Humanising the Workplace, Humanising the Nation serta Humanising the World dalam usaha merealisasikan misi masuk syurga sekeluarga.

Iklan

"Selain itu, guru pembimbing dan ibu bapa secara langsung menjadi tumpuan untuk mengubah kerangka fikir dan karakter diri dengan panduan al-Quran dan Hadis dalam membina GenQ. Cara penyampaian mesej al-Quran perlu dihidangkan mengikut kesesuaian karakter dan cara fikir anak tersebut.

"Ibarat melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Ini bermakna pendidikan awal khususnya al-Quran kepada anak bermula dari rumah ada penting, seterusnya disokong oleh pihak luar. Ketika minda anak masih segar, masukkan nilai-nilai al-Quran ke dalam jiwa dan pemikiran sebelum ilmu lain," katanya.

Iklan

Tambah beliau, kerjasama dan sokongan ibu bapa, pihak sekolah dan tadika diperlukan untuk mengadakan World Kids #QuranHour pada Kalender Quran (KalenderQu) sebagai agenda tahunan, selain World #QuranHour, Arafah #QuranHour, Malaysia #QuranHour dan World #QuranConvention.

Dari kiri: Zaim, Ahmad Solehin, Muhammad Naqib, Muhammad Adzleef dan Muhammad Syafiq memberi pengisian pada World Kids #QuranHour 2023.

Ujarnya, mereka boleh bantu mengaktifkan Quran Corner sekolah-sekolah di seluruh negara.

"Pihak WUIF berharap dapat mensasarkan golongan kanak-kanak Muslim di seluruh dunia untuk menyertai World Kids #QuranHour di peringkat global pada tahun hadapan. Pada masa sama kita berharap ada Kids Quranic Valley yang menjadi platform pengkajian al-Quran untuk membina kerangka fikir dan karakter anak-anak.

"Hasil kajian tersebut menjadi khazanah dalam membina jati diri anak dengan ilmu al-Quran, seterusnya membina projek legasi dengan membumikan al-Quran. Kempen gerakan al-Quran perlu dilakukan secara berterusan dalam mencapai misi Membangunkan Al-Quran Mengikhlaskan Ummah pada 1500H.” jelas beliau.

World Kids #QuranHour kali ini memperkenalkan dan menerapkan 11 karakter Al-Abrar kepada golongan kanak-kanak dengan berpandukan Surah Al-Insan, bagi melahirkan insan berkebajikan (Al-Abrar). Ia mencakupi tanggungjawab manusia kepada ALLAH SWT dan tanggungjawab manusia sesama manusia.

Pengurus Projek, Amirah Auni Binti Alimar Shidi berkata, nilai-nilai Abrar berpandukan surah ke 76 itu adalah amanah, takut azab ALLAH, sedekah, ikhlas, ingat akhirat, teguh, sabar, jauhi dosa, solat lima waktu, solat malam dan syukur.

World Kids #QuranHour dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, Surah Al-Baqarah, dan Surah Al-Insan yang dibimbing oleh qari cilik, Muhammad Adzleef Hazran Mohd Hazrin, Muhammad Naqib Mohammad Nadzir, dan Ahmad Solehin Muhammad Zumairi.

Bacaan Surah Al-Insan ayat 1 hingga 26 diselang-selikan dengan sesi tadabbur oleh Ustaz Muhammad Syafiq Mohd Sakri dan dihoskan Konsultan Perhubungan Antarabangsa WUIF, Hifdzi Zaim Zamri serta disusuli dengan aktiviti Solat 5 Waktu, seterusnya bacaan Ikrar World Kids #QuranHour oleh Muhammad Naqib.

Sesi tersebut diakhiri dengan bacaan doa penutup, selawat, tasbih dan istighfar oleh Ustaz Muhammad Syafiq.

Tiga resolusi yang disampaikan melalui World Kids #QuranHour iaitu pertama, ALLAH SWT memberi kita pilihan untuk menjadi orang yang syukur dengan mentaati perintah ALLAH SWT atau orang kufur yang melanggar perintah ALLAH SWT.

Kedua, orang yang takut dengan azab ALLAH SWT dengan sentiasa mengingati ALLAH SWT melalui memperbanyakkan ibadah dan amal soleh. Manakala orang yang melakukan doa akan banyak bermasam muka.

Ketiga, perkataan dan hati mesti seiring untuk melakukan kebaikan dengan banyak berzikir. Seterusnya ingati ALLAH SWT dengan cara menjaga solat lima waktu. Dengan solat, ALLAH SWT memelihara diri kita setiap masa.

WUIF dengan kerjasama rakan sinergi iLuvQuran, Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) Karya Bestari, Akademi Sinergi Ikhlas, Islamic Tourism Centre, Islamic Tourism Month 2023, Rumah Ngaji, Sahabah Al-Quran menjayakan aktiviti #QuranHour ini. Turut bersama adalah rakan media rasmi Sinar Karangkraf dan penaja, NIMS Adeliciousz (NIMS).