Bantuan, perlindungan segera mangsa banjir di Tanjung Malim

Iklan
Bantuan dan perlindungan segera diberikan kepada mangsa banjir yang ditempatkan di PPS Dewan Orang Ramai Kampung Chinggong - Foto: APM Perak

TAIPING - Kerajaan Perak akan memastikan semua mangsa banjir kilat di Kampung Chinggong, Tanjung Malim mendapat perlindungan dan bantuan sewajarnya.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, setakat ini, sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka bagi menempatkan mangsa banjir yang mencecah hampir 500 orang.

Iklan
Iklan

"Persiapan telah dibuat, selain daripada PPS, bantuan segera juga disediakan melalui Pejabat Daerah.

"Banjir ini berlaku selepas saya balik dari program di sana (Tanjung Malim), jadi saya akan dapatkan laporan lengkap daripada Pegawai Daerah nanti," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Citra Nusa@Muzium Matang di Muzium Matang, Kota Ngah Ibrahim Matang dekat sini pada Sabtu.

Iklan

Saarani berkata, pihaknya dimaklumkan keadaan banjir di kawasan itu hampir pulih dengan paras air semakin surut.

Mangsa banjir ditempatkan di PPS Dewan Orang Ramai Kampung Chinggong berikutan kejadian banjir kilat sejak Jumaat - Foto: APM Perak

"Ini tidak melibatkan banjir termenung tetapi banjir kilat jadi paras air akan cepat surut, maka selepas keadaan reda, mereka (mangsa) akan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing," katanya.

Iklan

Setakat jam 4 petang, seramai 474 mangsa daripada 97 keluarga dipindahkan ke PPS Dewan Orang Ramai Kampung Chinggong, Tanjung Malim akibat banjir kilat pada Jumaat.

Banjir sekitar jam 7.30 malam itu berlaku berpunca dari hujan lebat lebih dua jam menyebabkan air Sungai Behrang melimpah ke kawasan penempatan penduduk.

Saarani pada Khamis menghadiri program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak 2023 di Dewan Majlis Daerah Tanjong Malim (MDTM).