SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Sri Muda mengungguli pertandingan Sinar Bestari Got Talent apabila berjaya merangkul juara dan tempat ketiga bagi acara yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf, di sini pada Sabtu.
Persembahan memukau pasangan adik-beradik, Wellen Jeral William dan Welson Andrias William berjaya mengharumkan nama sekolahnya apabila diangkat sebagai juara pertandingan berkenaan.
Hasil kemenangan itu, Wellen, 12, dan Welson, 9, yang menyampaikan lagu Tiada Tangis Lagi berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 dan sijil penyertaan.
Tempat ketiga yang dimenangi wakil sekolah sama meraih wang tunai RM300 beserta sijil penghargaan.
Penyampaian hadiah bagi pertandingan yang diadakan sempena Karnival Pendidikan Sinar Bestari itu disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif Grup Sinar Karangkraf, Farah Hussamuddin.
Wellen ketika ditemui berkata, kemenangan yang diraih bersama adiknya itu sangat bermakna.
Ujarnya, latihan secara formal hanya dibuat selama tiga hari dan selebihnya dilakukan sendiri bersama Welson di rumah.
"Kelebihan sebagai adik-beradik juga memudahkan kami berlatih. Kemenangan ini bukan milik kami berdua sahaja tetapi ia juga hasil bimbingan pihak sekolah kami,” katanya.
Ditanya mengenai perancangan duit yang dimenangi itu, Wellen berkata, buat masa ini belum diputuskan lagi.
"Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada kedua ibu bapa, rakan-rakan dan guru-guru yang banyak memberi sokongan. Terima kasih juga kepada pihak Sinar Harian kerana memberi peluang kepada kami,” katanya.
Dalam pada itu, Guru Penolong Kanan Kokorikulum SK Taman Sri Muda, Nurul Huwaina Md Abd Salam berkata, kemenangan pasangan Wellen dan Welson itu bukan sahaja menjadi kebanggaan kepada pihak sekolah tetapi turut menjadi inspirasi kepada pelajar lain.
Katanya, kejayaan itu juga hasil kerja keras guru, Yetty Natalia Abdullah yang berjaya mengesan bakat bakat yang ada pada pasangan adik-beradik berkenaan serta mengorbankan banyak masa dengan membuat latihan.
"Pihak sekolah amat berterima kasih kepada cikgu Yetty dan diharap selepas ini lebih banyak lagi kejayaan dapat diraih,” katanya.
Sementara itu, SK Setia Alam berjaya meraih tempat naib juara dan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM600.
Secara keseluruhan, sebanyak 10 sekolah mengambil bahagian dalam pertandingan pelbagai bakat antaranya nyanyian, tarian, syair dan sebagainya.