SHAH ALAM - Bercerita dan menyanyi hasil nukilan sendiri. Itu menjadi daya penarik bagi pemenang Pertandingan Bercerita Sirah Nabi Muhammad oleh Grup Buku Karangkraf yang diadakan sempena Karnival Pendidikan Sinar Bestari, Nor Sofia Afiqah Mohd Khairil, 11.
Nor Sofia berkata, pengalaman kali pertama menyertai pertandingan seumpama itu membuatkan dirinya gementar, namun tetap berusaha melakukan persediaan sebaik mungkin.
Menurutnya, skrip bercerita yang diberikan oleh guru pembimbing telah diolah semula sesuai dengan cara penyampaian persembahan selain mencipta lagu dalam tempoh hanya dua minggu.
Usaha tersebut membuahkan hasil apabila dia berjaya memenangi hadiah bernilai RM100 selaku pemenang tempat pertama.
"Pada mulanya skrip ustazah yang beri tetapi ia teks lama. Jadi saya tukar sendiri ambil beberapa bahagian yang sesuai dalam buku sirah nabi Kids Prima.
"Cabaran paling sukar apabila terpaksa tukar skrip penceritaan dari masa ke masa dan juga mencipta lagu untuk pertandingan ini hanya dibuat dalam tempoh dua minggu sahaja,” katanya kepada Sinar Harian di Studio F Kompleks Kumpulan Karangkraf, pada Sabtu.
Nor Sofia berkata, ustazah dan ibunya antara individu yang banyak memberi galakkan kepadanya untuk memasuki pertandingan tersebut.
"Pada mulanya saya tidak berani untuk mencuba tetapi saya masuk juga untuk mencari pengalaman dan ibu serta ustazah di sekolah banyak menyokong sepanjang persediaan pertandingan.
"Saya sebenarnya tidak sangka boleh menang sebab bila tengok peserta lain saya agak gementar, tetapi selepas naik ke pentas saya seronok untuk bercerita,” katanya.
Sementara itu, naib Johan Pertandingan Bercerita Sirah Nabi Muhammad dimenangi oleh Balqis Najmulhadi, 11, dan Muhammad Aqil Akmal Azizul, 12, di tempat ketiga, masing-masing menerima hadiah bernilai RM70 dan RM50 daripada Grup Buku Karangkraf.
Karnival Pendidikan Sinar Bestari yang berlangsung selama tiga hari bermula 8 hingga 10 September menampilkan pelbagai pertandingan dan aktiviti menarik kepada pengunjung.
Bermula jam 9 pagi sehingga 7 malam dan terbuka kepada semua pengunjung secara percuma bagi merasai sendiri pengalaman pendidikan digital selaras dengan tema karnival iaitu Memacu Pendidikan Generasi Digital.