JOHOR BAHRU - Calon Kerajaan Perpaduan, Suhaizan Kayat menang di kerusi Parlimen Pulai dengan majoriti undi sebanyak 18,641.
Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor itu memperoleh undi sebanyak 48,283 daripada 298 peti undi mengatasi dua pencabarnya.
Pesaing terdekat iaitu calon Perikatan Nasional (PN), Zulkifli Jaafar mendapat 28,642 undi, manakala calon Bebas, Samsudin Mohamad Fauzi mendapat 528 undi.
Keputusan rasmi diumumkan Pegawai Pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya bagi PRK P161 Parlimen Pulai, Miswan Yunus.
Suhaizan yang merupakan bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) kembali mempertahankan kerusi Parlimen Pulai yang sebelum ini disandang Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub selama sejak 2018.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan 47.33 peratus pengundi keluar menunaikan tanggungjawab mereka pada PRK Parlimen Pulai.
PRK Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram diadakan ekoran kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pada 23 Julai lalu.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) November tahun lalu, Salahuddin memenangi kerusi itu dengan majoriti 33,174 undi dalam pertandingan tiga penjuru membabitkan BN dan Perikatan Nasional (PN).