DUNGUN - Kerajaan Terengganu bakal mewartakan kawasan di sekitar perairan Pulau Tenggol sebagai taman negeri sebagai usaha memelihara serta memulihara spesies batu karang dan hidupan laut di pulau berkenaan.
Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Seri Tengku Farok Hussin Tengku Abd Jalil berkata, kawasan daratan Pulau Tenggol telah diwartakan pada 2 Februari lalu.
Menurutnya, kajian sedang dibuat bagi memperluas proses pewartaan dari bahagian daratan ke perairan Pulau Tenggol yang menjadi tumpuan penyelam skuba dari dalam dan luar negara.
"Bagaimanapun, saya fikir kita perlu buat kajian balik untuk mewartakan kawasan perairan supaya batu karang dan hidupan marin di sini dapat dijaga dengan baik.
"Terdapat 19 lokasi terumbu karang yang sangat cantik di Pulau Tenggol dan ia perlu dipelihara daripada sebarang aktiviti yang merosakkan terutama melibatkan terumbu karang.
"Ini kerana ada segelintir penyelam skuba yang datang tidak beretika. Jadi perlu adanya pewartaan kawasan perairan di pulau berkenaan untuk memelihara tumbuhan dan hidupan laut," katanya kepada pemberita pada program Tenggol Beach and Underwater Clean Up di sini pada petang Sabtu.
Mengulas lanjut, Tengku Farok Hussin berkata, selain perairan Pulau Tenggol, kerajaan negeri juga sedang dalam proses mewartakan beberapa lokasi lain termasuk Pulau Rhu, Besut yang memiliki kepelbagaian alam semula jadi dan hidupan unik dan menarik.
Jelasnya, usaha berkenaan berada di peringkat libat urus dan dijangka dapat direalisasikan pada tahun hadapan.
"Di Pulau Rhu, kita akan wartakan kerana di situ terdapat kelawar dari spesies yang terancam.
"Proses berkenaan (pewartaan) perlu dibuat satu-satu kerana ia melibatkan masa dan kos yang banyak," ujarnya.