GEORGETOWN - Hospital Gleneagles Pulau Pinang bertekad akan terus memastikan perkhidmatan yang terbaik kepada semua pelanggannya sempena sambutan ulang tahun ke-50 pada tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Gleneagles Pulau Pinang, Ivan Loh berkata, sejak lima dekad lalu, hospital tersebut telah menempa nama dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan dari masa ke masa.
Menurutnya, kesemua warga Hospital Gleneagles Pulau Pinang sangat komited dalam perkhidmatan bagi memastikan pelanggan berasa selesa ketika menjalani urusan perubatan.
"Sejak dahulu, warga Hospital Gleneagles Pulau Pinang telah memegang kepada nilai-nilai yang diterapkan iaitu pesakit didahulukan, integriti, empati, bekerja secara berpasukan dan memastikan kerja yang cemerlang.
"Nilai-nilai ini yang dipegang sehingga ke hari ini, yang telah membawa Hospital Gleneagles Pulau Pinang antara hospital terbaik, bukan sahaja di negeri ini malah seluruh negara.
"Saya amat percaya bahawa dengan kerja yang berdedikasi dan penjagaan kualiti, kami boleh membawa perubahan yang paling bermakna kepada generasi akan datang," katanya ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Ulang Tahun ke-50 Hospital Gleneagles Pulau Pinang di sebuah hotel di sini pada Jumaat.
Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri II, Jagdeep Singh Deo, Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen serta beberapa orang kenamaan lain.
Dalam ucapannya, Ivan turut berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat untuk memastikan Hospital Gleneagles Pulau Pinang cemerlang dalam menyediakan perkhidmatan terbaik kepada pelanggannya.
"Kepada rakan korporat dan perniagaan kami yang telah memainkan peranan penting dalam Gleneagles Pulau Pinang untuk mencapai matlamat kami, terima kasih saya ucapkan kerana berkongsi nilai dan misi bersama kami.
"Dengan kerjasama bersama kami, kami dapat meningkatkan impak, melancarkan inisiatif yang menangani cabaran penjagaan kesihatan utama dan membawa penambahbaikan kepada komuniti kami," katanya.
Mengimbas mengenai perkembangan Hospital Gleneagles Pulau Pinang, Ivan berkata, sekitar tahun 1990-an, hospital berkenaan mempunyai 212 buah katil berikutan jumlah pesakit yang semakin meningkat tahun demi tahun.
"Tahun demi tahun, kami memperbaiki perkhidmatan sehingga membuatkan Hospital Gleneagles Pulau Pinang menjadi pilihan bukan sahaja pesakit dalam negara malah luar negara.
"Hari ini, kami berbangga dengan bangunan 19 tingkat yang menyediakan 350 buah katil, lebih 80 pakar perunding pakar, peralatan terkini, bilik bedah termaju dan sebagainya. Sepanjang lima dekad ini, kami telah berkembang dan terus berkembang dengan memperkenalkan kepakaran baharu dan melabur untuk peralatan perubatan yang canggih," katanya.
Tambah beliau, kecemerlangan klinikal Hospital Gleneagles Pulau Pinang dalam menyediakan perkhidmatan terbaik diiktiraf oleh Suruhanjaya Bersama Antarabangsa (JCI).
"Pengiktirafan JCI adalah penanda aras bagi hospital di seluruh negara dalam keselamatan pesakit dan kualiti penjagaan. Selain itu, Hospital Gleneagles Pulau Pinang juga telah memenangi pelbagai anugerah berprestij.
"Antaranya Pelancongan Perubatan Terbaik di Asia Pasifik yang dianugerahkan pada tahun ini yang mana, ia membuktikan komitmen kami yang tidak berbelah bahagi untuk memberi penjagaan kesihatan bertaraf antarabangsa di rantau ini," katanya.