CelcomDigi meterai MOU dengan VIRNECT bagi pembangunan XR

Iklan
Tim Ha (kiri) dan Idham memeterai MoU bagi meneroka pembangunan pembelajaran dan pendidikan menggunakan Metaverse sambil disaksikan Fahmi (tengah).

SHAH ALAM - CelcomDigi Bhd memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan syarikat teknologi Korea Selatan, VIRNECT bagi pembangunan dan pengkomersialan penyelesaian Realiti Lanjutan (XR) perindustrian di Malaysia.

Kerjasama itu bermatlamat untuk meneroka pembangunan pembelajaran dan pendidikan berasaskan pengalaman yang menggunakan metaverse untuk beberapa universiti di Malaysia.

Iklan
Iklan

Menerusi MoU tersebut, kedua-dua organisasi berkenaan akan bekerjasama untuk mencipta program pembelajaran maya perindustrian menerusi penyelesaian berasaskan metaverse dan kecerdasan buatan (AI).

Pelajar akan dilatih dengan kaedah pembelajaran dan pendidikan yang berpotensi memberi manfaat kepada perusahaan seperti keselamatan siber, penjagaan kesihatan, robotik, kejuruteraan minyak dan gas.

Iklan

Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi, Datuk Idham Nawawi berkata, syarikat itu komited untuk menawarkan inovasi terbaik yang akan memberikan manfaat besar kepada pembangunan industri Malaysia menggunakan nilai sebenar teknologi 5G.

"Kerjasama strategik ini menegaskan kedudukan kami dalam memanfaatkan teknologi metaverse, 5G dan AI yang berpotensi mewujudkan penyelesaian digital yang inovatif dan produktif bagi perusahaan Malaysia, mendorong ekosistem digital Malaysia kepada era baharu kepimpinan digital.

Iklan

"CelcomDigi menerusi pusat inovasi berhasrat untuk membina ekosistem inovasi yang memberi inspirasi menerusi bekerjasama VIRNECT dan XRA, rakan kongsi tempatan dan pasukan sokongan VIRNECT di Malaysia.

"Langkah ini bermatlamat untuk memberi inisiatif strategik dengan memanfaatkan keupayaan penyelesaian teknologi metaverse dan berasaskan AI termaju di institusi pengajian tinggi Malaysia," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

MoU berkenaan ditandatangani antara Idham dan Ketua Pegawai Eksekutif VIRNECT, Tim Ha dan disaksikan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil di luar Persidangan GSMA Mobile 360 APAC di Seoul, Korea.

Sementara itu Tim Ha berkata, syarikat perindustrian terkemuka Korea Selatan telah memanfaatkan teknologi XR untuk meningkatkan pemahaman dan kerjasama data.

"Kami bersyukur kerana mempunyai rakan kongsi seperti CelcomDigi dan XRA yang berkongsi minat sama untuk memajukan teknologi bagi meningkatkan cara organisasi bekerja, belajar dan berkomunikasi," ujarnya.