KOTA BHARU - Nasi bungkus di negeri ini naik sebanyak 50 sen susulan peningkatan harga beras import termasuk beras Siam yang sedang berlaku ketika ini.
Tinjauan Sinar Harian pada Ahad mendapati rata-rata peniaga terpaksa berbuat demikian selepas tidak lagi mampu untuk menanggung kenaikan harga beras termasuklah bahan mentah.
Seorang peniaga nasi berlauk di Kampung Pek, Machang, Ilya Zakaria, 60, berkata, dia terpaksa menaikkan harga sebanyak 50 sen untuk setiap bungkus.
"Sebelum ini, saya jual nasi berlauk untuk sarapan pagi dengan harga RM3.50 sebungkus, namun sekarang RM4.
"Walaupun berat (naikkan harga) untuk berbuat demikian, namun saya tidak mempunyai pilihan kerana kenaikan harga beras amat memberikan kesan," katanya.
Menurut Ilya, beras import terpaksa digunakan bagi memastikan nasi yang dimasak berada dalam keadaan baik.
Ujarnya, kebanyakan pelanggan memahami situasi tersebut dan tidak merungut.
Sementara itu, peniaga nasi bungkus tengah hari di Selising, Pasir Puteh, Hasnah Abdul Rahman, 50, berkata, kenaikan harga sebanyak 50 sen itu sudah tidak dapat dielakkan lagi.
Menurut Hasnah, selain harga beras, peningkatan kos bahan mentah lain menyebabkan peniaga sepertinya turut terkesan.
"Sebelum ini, saya jual RM5.50 sebungkus, namun terpaksa dinaikkan kepada RM6.
"Beras Siam merupakan bahan utama kerana nasi tidak mudah patah dan lembik. Lagipun pelanggan sudah selesa dengan beras Siam," katanya.
Hasnah memberitahu, ketika ini beras Siam dijual pada harga RM105 bagi 25 kilogram bergantung kepada cap.
Seorang lagi peniaga, Rohana Daud di Labok, Machang, 53, turut mengakui terkesan dengan kenaikan harga beras.
Katanya, dia bergantung sepenuhnya kepada beras import dan Siam.
"Ketika ini harga nasi berlauk di kedai saya dijual pada harga RM3 hingga RM4 bergantung kepada lauk," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN:
Isu beras berpunca akibat Tun M gagal ambil langkah tepat - Razeef
Had beli beras tempatan 100kg beri kesan pengusaha makanan - Cake
Isu beras tempatan: 'Bekalan cukup? Menteri boleh datang ke Mydin' - Ameer Ali
Had beli beras tempatan 100kg beri kesan pengusaha makanan - Cake