SHAH ALAM - Terlupa membawa lesen memandu kerana tergesa-gesa ke tempat kerja antara alasan diberikan penunggang motosikal selepas gagal menunjukkan lesen ketika diperiksa dalam Operasi Khas Motosikal di sekitar kawasan Klang pada Sabtu.
Bagaimanapun, helah tersebut terbongkar apabila pemeriksaan lanjut dijalankan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor mendapati individu terbabit tidak memiliki lesen memandu selain cukai jalan telah tamat tempoh.
Timbalan Pengarah JPJ Selangor, Ahmad Kamarunzaman Mehat berkata, operasi dijalankan di beberapa lokasi tumpuan sekitar negeri ini bermula jam 8 pagi sehingga 11.30 malam turut mendapati kegagalan menunjukkan lesen memandu antara kesalahan popular melalui pemeriksaan ke atas 2,890 buah motosikal.
"Sebanyak 603 notis telah dikeluarkan melibatkan pelbagai kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Antara kesalahan dikesan adalah tiada lesen memandu, lesen kenderaan motor tamat tempoh, tiada perlindungan insurans, kesalahan teknikal dan lain-lain kesalahan," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Mengulas lanjut katanya, sebanyak 151 notis dikeluarkan berkaitan tidak memiliki lesen memandu (CDL) iaitu kesalahan paling tinggi dikesan selain lesen kenderaan motor (87) dan tiada perlindungan insurans (84).
"Selain itu pelbagai kesalahan teknikal seperti pengubahsuaian (105) dan pelbagai kesalahan lain serta 24 motosikal telah disita melibatkan pelbagai kesalahan," katanya.
Sementara itu, beliau berkata, pihaknya turut bertindak menyita 24 buah kenderaaan yang tidak mempunyai lesen memandu atau lesen kenderaan motor (LKM).