SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan dalam usaha merangka pelan jangka masa panjang sebagai persediaan memastikan sekuriti makanan di negeri ini terutamanya bekalan beras mencukupi.
Exco Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup negeri, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, ia antaranya dengan mempertingkatkan semula tanaman padi terutamanya di Kuala Pilah, Jelebu, Gemas dan Jempol.
"Ini merupakan daerah-daerah yang masih mempunyai tanaman padi, cumanya memerlukan suntikan dan galakan serta pelbagai insentif yang membolehkan mereka meneruskannya.
"Disebabkan itu juga kemungkinan kita akan lihat supaya di Negeri Sembilan akan mempunyai satu kilang untuk mengeluarkan beras bagi menampung keperluan rakyat di negeri ini yang dijual pada harga sesuai," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program Jelajah Fit Malaysia peringkat Negeri Sembilan 2023 di Sendayan pada Ahad.
Jalaluddin yang merupakan Exco Kanan berkata, isu kekurangan bekalan beras tidak begitu ketara di negeri ini, namun persediaan awal perlu dilakukan.
Tambahnya, ia termasuk memastikan stok bekalan barangan keperluan asas lain seperti gula, minyak masak dan tepung adalah mencukupi bagi tempoh dua sehingga lima tahun akan datang.
"Saya sudah maklum kepada semua ketua jabatan di bawah portfolio saya dan antara KPI mereka ialah saya tidak mahu lihat atau dengar suara rakyat di negeri ini merungut tentang kekurangan bekalan, merungut tentang harga melampau dan merungut tentang kualiti bekalan kita.
"Saya juga sudah berbincang dengan jawatankuasa bertindak pertanian untuk kolaborasi dengan agensi dan jabatan lain supaya program untuk menambah sekuriti makanan ini dapat dipertingkatkan dari semasa ke semasa," katanya.
Selain itu katanya, usaha pemulihan tanah-tanah terbiar untuk diusahakan aktiviti pertanian juga sedang dilakukan serta mengenal pasti kawasan pertanian yang memerlukan bantuan.
"Umpamanya mereka nak usahakan tanah sawah, tapi bekalan air tak mencukupi dan kerana itu kolaborasi antara jabatan n pihak berkaitan mesti diadakan," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN:
Isu beras berpunca akibat Tun M gagal ambil langkah tepat - Razeef
Had beli beras tempatan 100kg beri kesan pengusaha makanan - Cake
Isu beras tempatan: 'Bekalan cukup? Menteri boleh datang ke Mydin' - Ameer Ali
Had beli beras tempatan 100kg beri kesan pengusaha makanan - Cake