ALOR SETAR - Polis Kedah menumpaskan lima kumpulan sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) selepas berjaya menahan 12 ejen sindiket warga tempatan dan Myanmar hasil Op Pintas yang diadakan bermula 15 Ogos hingga 7 September lalu.
Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, dalam op tersebut juga seramai 47 PATI warga Myanmar yang berumur antara 15 hingga 50 tahun juga berjaya ditahan dalam jenayah pemerdagangan orang tersebut.
Menurutnya, semua dipercayai diseludup masuk melalui jalan laut dan darat di sekitar daerah Langkawi dan Kubang Pas oleh kumpulan sindiket.
"Lima kumpulan sindiket ini tidak mempunyai kaitan namun modus operandi mereka adalah sama iaitu menyeludup migran masuk ke negara ini melalui jalan laut dan darat serta mempunyai hubungan dan kerjasama dengan ejen sindiket di Yangoon, Myanmar," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, dekat sini pada Ahad.
Jelas Fisol, PATI ini telah dijanjikan peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor ekonomi di negara ini dan mereka perlu membuat pembayaran antara RM5,000 hingga RM7,000 setiap seorang kepada ejen sindiket.
Menurutnya, satu pertemuan dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Kedah telah diadakan untuk berbincang mengenai pembolosan masuk PATI di kawasan pagar sempadan negara ini.
"Tindakan perlu diambil segera di sempadan berpagar, begitu juga sempadan laut dan seperti sedia maklum, Langkawi merupakan tempat transit (bagi PATI).
"Apabila mendarat di Langkawi sudah dikira berada dalam kawasan domestik jadi mereka boleh ke Kuala Kedah atau Kuala Perlis tanpa memerlukan sebarang dokumen," ujar beliau lagi.
Tambahnya, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Dalam perkembangan sama, Fisol berkata, Polis Kedah juga berjaya menumpaskan aktiviti penyeludupan minyak diesel di sekitar sempadan Kubang Pasu bermula 31 Ogos hingga 8 September lalu.
Menurutnya, sebanyak 7,950 liter minyak diesel dianggarkan berjumlah lebih RM17,000 yang cuba diseludup keluar ke negara jiran berjaya dirampas selain menahan tujuh lelaki warga Thailand dan dua lelaki tempatan berusia antara 21 hingga 50 tahun.
"Kesemua tangkapan dan rampasan telah diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya lagi.