Tragedi konvoi tiga sahabat: Luluh tengok adik maut depan mata

Iklan
Pengebumian ketiga-tiga mangsa di Tanah Perkuburan Islam Felda Lepar Utara, Jerantut pada Ahad. Gambar kecil: Muhammad Firdaus

JERANTUT - [DIKEMAS KINI] Luluh hati seorang abang apabila melihat adiknya meninggal dunia di depan matanya sendiri dalam insiden tiga maut akibat kemalangan di jalan besar Felda Jengka 17 di Maran pada Sabtu.

Abdul Rahman Zainal Abidin, 31, yang merupakan abang sulung kepada Allahyarham Muhammad Firdaus Zainal Abidin, 20, memberitahu sempat bertembung dengan adiknya itu di tepi jalan sebelum mangsa keluar bersama rakan-rakan sekerjanya pada hari kejadian.

Iklan
Iklan

Menurutnya, adik bongsu daripada empat beradik itu yang maut dalam perjalanan pulang selepas makan ikan patin Temerloh itu pada mulanya berhasrat ke Temerloh pada Jumaat, namun terpaksa berpatah balik disebabkan hujan dan bercadang mahu menjamu ikan patin pada Ahad.

Bagaimanapun, Abdul Rahman tidak menyangka adiknya itu menuju ke Temerloh sehari lebih awal dan turut mengejutkan apabila meninggalkan mereka sekeluarga buat selama-lamanya.

Iklan

"Saya mengetahui kejadian menimpa adik kira-kira jam 7 petang dan sempat melihat adik di tempat kejadian," kata Abdul Rahman yang bekerja sebagai buruh am.

Ditanya perubahan sikap adiknya, beliau memberitahu adiknya bersikap seperti biasa kecuali bersikap endah tidak endah sejak beberapa minggu lalu.

Iklan

"Itu yang saya perasan dan arwah adik pun memang jenis tak banyak bercakap," kata Abdul Rahman selepas adiknya selesai dikebumikan kira-kira jam 11 pagi di Tanah Perkuburan Islam Felda Lepar Utara 1 pada Ahad.

Beliau dan keluarganya reda dengan pemergian adik bongsunya walaupun sedih atas kehilangan tersebut.

"Cuma saya terkilan kerana atas kesalahan orang lain, adik dan dua lagi rakan lain jadi mangsa dan dengar cerita kereta itu tidak lepas untuk memotong.

"Kita tengok dulu dan akan mengambil tindakan sewajarnya demi keadilan untuk arwah adik," tambah Abdul Rahman lagi.

Sinar Harian pada Ahad melaporkan, konvoi tiga sahabat yang pulang selepas makan ikan patin Temerloh bertukar tragedi apabila kesemuanya maut setelah motosikal yang ditunggangi mereka dirempuh sebuah kereta di jalan besar Felda Jengka 17 di sini pada Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.15 petang itu, kemalangan melibatkan tiga motosikal jenis Yamaha Y15ZR dan kereta jenis Peugeot.

Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintenden Norzamri Abd Rahman berkata, ketiga-tiga mangsa iaitu Fadhil Syah Sulaiman,19; Muhammad Firdaus Zainal Abidin, 20, masing-masing beralamat Felda Lepar Utara 1 dan Mohd Ridhwan Mahayadin, 35, beralamat Felda Jengka 17 meninggal dunia di tempat kejadian.