SHAH ALAM - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Ehsan, Kepong dinobatkan sebagai juara pertandingan bola keranjang kategori lelaki bawah 18 tahun sempena Karnival Pendidikan Sinar Bestari.
Guru pengiring pasukan tersebut, Chong Yi Long berkata, kejayaan itu adalah hasil semangat tinggi pemain yang memberikan komitmen baik sepanjang tempoh latihan.
"Mereka berlatih dengan jurulatih luar dari Persatuan Bola Keranjang Dreamider, Kepong pada setiap hari Sabtu dan Ahad.
"Saya beritahu mereka jika mahu masuk pertandingan, kena ada disiplin dan minat dalam bola keranjang.
"Tapi pada masa sama, pelajaran jangan lupa dan jangan mengeluh pada cikgu kalau penat berlatih,” ujarnya kepada Sinar Harian selepas majlis penyampaian hadiah di Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini.
Karnival Pendidikan Sinar Bestari dijalankan selama tiga hari dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) itu menghimpunkan 100 pempamer dan lebih 50 aktiviti menarik disediakan kepada para pengunjung di Kompleks Kumpulan Karangkraf, Seksyen 15 di sini.
Karnival berkenaan diadakan serentak bersama SinarPlus Makan Fest dan Jualan Gudang Karangkraf untuk pengunjung berhibur, belajar serta membeli-belah dalam masa yang sama.
Tambah Yi Long, pasukan itu pernah dinobatkan sebagai juara peringkat daerah pada tahun lalu dengan dua pemain dipilih ke peringkat seterusnya.