ALOR SETAR - Kenaikan harga beras import di pasaran diakui memberikan kesan kepada kos operasi restoran dan kedai makan yang menggunakan beras jenis tersebut.
Pengarah Restoran Ahmad Foo-Halal Chinese Foodstyle, Ahmad Fuad Marzuki, 34, berkata, kira-kira 120 hingga 160 kilogram (kg) beras import digunakan di enam outletnya setiap hari.
Menurutnya, kenaikan harga beras import sehingga RM38 bagi setiap 10 kg beras jelas memberikan kesan kepada kos operasi hariannya namun masih belum membuat keputusan untuk menaikkan harga makanan yang dijual di restoran tersebut buat masa sekarang.
"Buat masa ini kami masih menyerap kos tersebut dan akan melihat sehingga hujung tahun ini. Jika berlaku kenaikan lagi kami mungkin terpaksa memikirkan kembali sama ada perlu menaikkan harga makanan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.
Sebagai seorang usahawan, Ahmad Fuad berkata, semua kos perlu dilihat dan dinilai dari masa ke masa bagi memastikan restoran serta outlet-outlet yang ada terus kekal beroperasi termasuk menjaga kebajikan 34 pekerjanya.
Menurutnya, ada cadangan agar menggantikan beras import dengan dengan beras putih tempatan kerana harganya lebih murah, namun kualitinya dilihat akan menjejaskan rasa hidangan makanan yang disediakan mereka.
"Selain kenaikan harga beras import yang ketara, kami juga perlu menyerap kenaikan barang basah lain seperti bawang putih dan sayur," ujarnya.
Kenaikan harga beras import itu juga diakui memberikan kesan kepada peniaga kedai makan, Aziz Ariffin, 55, kerana bergantung penuh kepada beras tersebut.
Menurutnya, jika harga beras import terus meningkat, beliau percaya peniaga makanan kecil tidak mampu lagi menyerap kenaikan kos dan akan menaikkan harga makanan.
"Memang ada cuba menggunakan beras tempatan namun kualitinya tidak digemari pelanggan sebab itu ramai memilih kekal dengan beras import.
"Sebenarnya kerajaan juga perlu melihat dan mengawal kenaikan harga beras import kerana secara tidak langsung memberikan kesan kepada kenaikan harga makanan," ujarnya.