TANAH MERAH - Seorang penunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR ditahan polis selepas didapati memiliki pil kuda bernilai RM360,000 di tepi jalan Kampung Batu 11, Perumahan JPN, Batu Gajah dekat sini pada Sabtu.
Suspek lelaki berusia 29 tahun itu ditahan pada jam 6.45 petang.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintenden Mohd Haki Hasbullah berkata, penahanan terhadap suspek dilakukan menerusi Op Tapis yang dijalankan oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Tanah Merah.
"Polis menahan lelaki yang juga seorang penganggur itu ketika menunggang motosikal Yamaha Y15ZR untuk pemeriksaan.
Menurutnya, ujian saringan awal polis terhadap suspek mendapati lelaki terbabit positif methamphetamine dan semakan rekod mendapati dia mempunyai empat rekod kesalahan lampau melibatkan kes narkotik.
"Suspek kini dikenakan tahanan reman sehingga 16 September ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, sebelum itu pada hari sama pada jam 6 petang, seorang lagi penganggur ditahan dalam op sama di sebuah rumah di Perumahan JPN, Batu 11 dekat sini dan menemukan sejumlah dadah jenis pil kuda serta syabu.
Beliau berkata, suspek lelaki berusia 46 tahun itu berada di dalam rumah semasa serbuan dan melihat pemeriksaan yang dilakukan oleh pihak polis.
"Hasil pemeriksaan, polis menjumpai 200 biji dipercayai pil kuda dan 183 gram dadah disyaki syabu di bahagian dapur rumah.
"Anggaran nilai rampasan dadah itu adalah sebanyak RM38,600 dan siasatan masih diteruskan mengikut seksyen sama kerana mengedar dadah,” katanya.
Mohd Haki berkata, ujian saringan awal polis terhadap suspek terbabit turut positif dadah jenis sama selain mempunyai tiga rekod kesalahan lampau melibatkan narkotik dan jenayah.