PAHANG Rangers FC melakar sejarah tersendiri apabila muncul juara berganda musim ini selepas menjuarai Piala Futsal Malaysia 2023 di Stadium Malawati, Shah Alam sebentar tadi.
Dalam aksi final penuh dramatik itu, Pahang Rangers menewaskan seteru utama, Johor Darul Ta'zim (JDT) 3-1 menerusi penentuan sepakan penalti apabila kedua-dua pasukan terikat 4-4 selepas tamat masa tambahan.
Kejayaan menjuarai Piala Futsal Malaysia itu hadir kira-kira tiga minggu selepas Pahang Rangers muncul juara Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2023 selepas menundukkan JDT dengan agregat 9-6.
Pada aksi final Piala Futsal Malaysia sebentar tadi, JDT bermula garang sebaik wisel permulaan dibunyikan sebelum berjaya meraih gol pendahuluan menerusi Muhammad Ekmal Shahrin seawal minit keenam.
Tersentak dengan jaringan awal JDT, Pahang Rangers yang dibimbing Gerard Casas Ulestre bangkit memburu gol penyamaan dan berjaya melakukannya menerusi jaringan Ridzwan Bakri pada minit ke-16.
Bersambung babak kedua, Ekmal kembali meletakkan JDT di depan pada minit ke-23 sebelum Mohd Azwann Ismail menambah gol ketiga skuad Harimau Selatan berselang 11 minit kemudian.
Pahang Rangers bangkit menyumbat dua gol bagi mengikat kedudukan 3-3 hasil jaringan sendiri pemain JDT, Saad Sani pada minit ke-36 dan sebelum Ridzwan menambah gol kedua peribadinya di pentas final itu pada minit ke-39.
Dalam aksi masa tambahan, Sergio Jamur berjaya menyumbat gol keempat Pahang Rangers pada minit ke-42 sebelum Awalluddin Mat Nawi memastikan JDT mengikat Tok Gajah 4-4 dengan gol penyamaan seminit kemudian.
Dengan perlawanan terikat 4-4 sehingga tamat masa tambahan, penentuan sepakan penalti dibuat bagi menentukan juara sebelum jaringan Ahmad Harith Naim Mohd Nasir mengesahkan kemenangan Pahang Rangers.