Malaysia pertaruh 13 pelumba gegar Hangzhou

Iklan
Abdul Halim

SERAMAI 13 pelumba termasuk empat jurumudi (pilot) akan menggalas cabaran skuad berbasikal negara pada temasya Sukan Para Asia Hangzhou 2022 di China yang dijadualkan berlangsung dari 22 hingga 28 Oktober depan.

Pengerusi Biro Para Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Abdul Halim Md Yusoff berkata, pemilihan kesemua pelumba terbabit bersandarkan prestasi mereka dalam beberapa kejohanan sebelum ini.

Iklan
Iklan

Malah, beliau memberitahu, Kejohanan Lebuhraya Para 2023 yang berlangsung di Putrajaya dari 8 hingga 10 September, menjadi medan terbaik bagi menguji prestasi setiap pelumba sebelum mereka beraksi di Hangzhou nanti.

"Paling penting, pelumba-pelumba negara yang beraksi pada kejohanan kali ini dapat membuat persiapan menjelang Sukan Para Asia di Hangzhou yang akan berlangsung tidak lama lagi,” katanya kepada Sukan Sinar pada Ahad.

Iklan

Pada Sukan Para Asia Hangzhou 2022, skuad berbasikal Malaysia yang diketuai Abdul Halim selaku pengurus, mempertaruhkan sembilan pelumba lelaki termasuk dua jurumudi serta empat pelumba wanita termasuk dua jurumudi.

Senarai pelumba lelaki dibarisi Mohamad Yusof Shaharuddin, Muhammad Adi Raimie Amizazahan, Zuhairie Ahmad Tarmizi, Muhammad Hafiz Jamali, Mohd Raffiq Isam, Mohd Khairul Hazwan Wahab, Ahmad Ahlami Mohamad dan dua jurumudi - Muhammad Khairul Adha Rasol dan Muhammad Arfy Qhairant Amran.

Iklan

Pelumba wanita pula diperkuatkan dengan penampilan pemenang tiga pingat emas Sukan Para Asia 2018, Nur Azlia Syafinaz Mohd Zais dan jurumudi, Nurul Shuhada Zainal serta Nur Suraiya Muhamad Zamri dan jurumudi, Farina Shawati Mohd Adnan.

"Sebenarnya pada Sukan Para Asia Hangzhou, kita diberikan kuota untuk menghantar wakil dalam tujuh kategori lelaki dan lima (kategori wanita). Tetapi kita hanya dapat hantar dua wakil dalam (kategori) wanita.

"Jumlah itu sudah dikira baik kerana barisan pelumba yang dihantar beraksi pada Sukan Para Asia Hangzhou boleh dikatakan mereka yang cukup berpengalaman dan pemenang pingat termasuk emas Sukan Para Asia 2018 di Indonesia,” jelasnya.

Pada Sukan Para Asia 2018, skuad berbasikal negara menyambar lima emas dengan tiga daripadanya disumbangkan Nur Azlia Syafinaz dan Nurul Shuhada selain satu emas masing-masing menerusi Zuhairie dan Muhammad Afiq Afify Rizan dibantu jurumudi, Khairul Adha.