Novel, buku baharu dan agama laris setiap hari

Iklan
Izzat Izhar

SHAH ALAM - Lima judul buku-buku baharu sepanjang 11 hari Jualan Gudang Karangkraf 2023 yang berakhir pada Ahad, laris dan dicari oleh pengunjung.

Antara novel terlaris sepanjang jualan tersebut berlangsung ialah Senaskhah Hidup, Bitter Honey, Bawah Payung Awan, Ekspres Jupiter dan Rahsia Paling Rahsia.Ketua Pegawai Operasi Grup Buku Karangkraf (GBK), Izzat Izhar Muhammad Nasir berkata, mereka sentiasa menyediakan sumber bahan bacaan yang memenuhi keperluan semasa orang ramai tanpa mengira genre.

Iklan
Iklan

"Selain itu terdapat juga buku agama yang terlaris sepanjang jualan seperti Sinopsis 114 Surah, Nota My #Qurantime Juzuk 21, Himpunan Solat Sunat: Step by Step, 111 Doa dan Zikir Amalan Rasulullah dan Wa Absyiru: Dan Berikanlah Khabar Gembira,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Pada 27 Ogos lalu, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Firdaus Hussamuddin berkata, Jualan Gudang Karangkraf 2023 kembali memeriahkan aktiviti keluarga dan kanak-kanak bersempena musim cuti persekolahan dengan tawaran diskaun sehingga 80 peratus di Kompleks Kumpulan Karangkraf bermula 31 Ogos hingga 10 September.

Iklan

Menurutnya, antara aktiviti menarik yang dijalankan ialah pertandingan mewarna, pertandingan membaca dan pertandingan menulis mushaf.

Mengulas lanjut, Izzat Izhar berkata, sambutan pada hari terakhir jualan amat memberangsangkan daripada pengunjung yang hadir.

Iklan

Beliau memberitahu, tawaran yang diberikan sepanjang jualan gudang itu mendapat maklum balas yang positif daripada orang ramai.

"Kehadiran tiga hari terakhir memang sangat memberangsangkan dan ditambah pula dengan berlangsungnya Karnival Pendidikan Sinar Bestari memang mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai.

"Para pengunjung yang hadir ke Jualan Gudang juga turut berpuas hati dengan harga yang kita tawarkan dan potongan diskaun bagi setiap genre buku.

"Jualan Gudang Karangkraf 2023 yang menutup tirai pada Ahad menjadi program terakhir Kumpulan Karangkraf untuk tahun ini dan orang ramai yang ingin mendapatkan potongan diskaun buku lebih murah perlu menunggu sehingga awal tahun 2024,” katanya.