WOUT Weghorst memastikan Belanda berada di landasan tepat untuk meraih tiket Euro 2024 selepas menjadi wira meledak gol dalam kemenangan 2-1 pasukannya menentang Ireland di Dublin pada awal pagi Isnin.
Pasukan kendalian Ronald Koeman itu terlebih dahulu dikejutkan menerusi sepakan penalti Adam Idah meletakkan Ireland di hadapan dalam aksi Kumpulan B itu.
Namun, pemain Liverpool Cody Gakpo menjaringkan gol menerusi penalti tidak lama kemudian dan pelawat meraih tiga mata hasil jaringan separuh masa kedua Weghorst.
Mereka akan bertemu penghuni tangga ketiga, Greece, yang mengumpul mata sama, dan enam mata di depan Ireland.
Dua pasukan teratas akan layak ke Euro tahun depan di Jerman.
Kemenangan tersebut melegakan Koeman namun menegaskan para pemainnya tidak beraksi dengan baik terutama pada permulaan separuh masa pertama.
"Permulaan sungguh buruk. Kami menerima tekanan tinggi daripada pasukan Ireland dan kehilangan banyak bola. Kami tidak mempunyai kawalan dalam permainan dan selepas 20-25 minit ia kembali tenang.
"Keputusan pada separuh masa untuk menukar sistem dan bermain dengan empat pemain di pertahanan adalah keputusan yang baik.
"Selepas separuh masa, kami mengawal permainan. Pada minit terakhir, mereka memberi tekanan yang sama tetapi mereka tidak mencipta sebarang peluang untuk menjaringkan gol. Saya fikir ia adalah keputusan yang adil,” katanya.