PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Tindakan Pakatan Harapan (PH) yang telah melepasi 'garis merah' mendorong Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) membuat keputusan keluar daripada gabungan parti kerajaan.
Jelas Setiausaha Agung Muda, Amir Abdul Hadi, pihaknya bersama PH sewaktu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kerana percaya dengan agenda reformasi yang dibawakan gabungan itu.
"Kes besar sebegini merupakan agenda dibawa ketika kempen PRU15.
Bayangkan kalau tiada tindakan ke atas syarikat 1MDB (1Malaysia Development Berhad) selepas PRU14, sudah tentu kita akan marah. Samalah dengan hari ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghantar memorandum bantahan di Jabatan Peguam Negara (AGC) dekat sini pada Isnin.
Menurutnya, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi perlu didakwa semula terhadap kesemua 47 pertuduhan yang telah dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA).
Dalam pada itu, Muda dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) terus mendesak kerajaan agar segera melakukan pengasingan kuasa antara Peguam Negara dengan pendakwa raya untuk mengelakkan konflik berkepentingan dalam kes perundangan.
Menurut Amir, meskipun isu pengasingan kuasa antara kedua-dua pihak sering kali diutarakan namun tiada satu garis masa atau panduan khusus mengenainya dilaksanakan setakat ini.
"Peguam Negara dan pendakwa raya ada tugas masing-masing. Isu mengenai pengasingan kuasa telah disebutkan berkali-kali," katanya.
Ujar Amir, AGC diberi masa lima hari bekerja atau sebelum 18 September untuk melaksanakan semua tuntutan mereka.
"Jika tiada respons kami akan teruskan aksi tunjuk perasaan dalam semangat demokrasi untuk mengangkat suara kekecewaan rakyat," katanya yang turut menambah akan ke Parlimen pada Khamis ini untuk menghantar memorandum bantahan.
Terdahulu, Amir dan Ketua Pemuda PSM K Arveent menyerahkan memorandum tersebut kepada wakil AGC sebagai bantahan terhadap permohonan AGC yang telah DNAA pertuduhan Ahmad Zahid.
Ahmad Zahid dibicarakan atas 47 pertuduhan iaitu lapan tuduhan rasuah, 12 pecah amanah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan jutaan ringgit dana Yayasan Akalbudi.