GEORGETOWN - Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah atau lebih dikenali sebagai Jambatan Kedua Pulau Pinang akan ditutup sebahagian bagi memberi laluan kepada program Cultural Night Run @ Penang 2nd Bridge pada 17 September ini.
Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB) dalam kenyataannya berkata, penutupan sementara itu melibatkan laluan dari arah Batu Maung ke Batu Kawan.
Katanya, laluan sehala keluar pulau dari arah Batu Maung ke Batu Kawan akan ditutup bermula jam 6 petang (16 September) hingga jam 2 pagi pada 17 September.
Bagaimanapun kata JKSB, laluan keluar dari Bandar Cassia (Plaza Tol C) ke Lebuh Raya Utara Selatan dan laluan masuk ke pulau dari arah Batu Kawan ke Batu Maung (Plaza A, Plaza B Bandar Cassia dan Plaza JK2PP) dibuka seperti biasa.
"Sehubungan itu, JKSB menasihatkan orang ramai supaya menggunakan Jambatan Pulau Pinang sebagai laluan alternatif keluar pulau dan mematuhi semua papan tanda serta arahan yang diberikan.
"Terima kasih kepada semua pengguna lebuh raya atas perhatian dan kerjasama yang diberikan. Pengguna juga boleh menghubungi Hotline JKSB di talian 1300-30-2828 untuk mendapatkan maklumat trafik atau ingin mendapatkan bantuan jika berlaku kecemasan," katanya pada Isnin