KUALA LUMPUR - Kerajaan cakna dengan isu keciciran murid dalam sistem pendidikan dan ia akan ditangani secara tuntas melalui pembangunan Sistem Pengesanan Murid Cicir Bersepadu.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sekolah model khas seperti Sekolah Komprehensif 9 (K9) dan Sekolah Komprehensif 11 (K11) akan diperbanyakkan bagi memberi peluang kepada anak-anak dalam kalangan peribumi dan Orang Asli serta dari kawasan pedalaman dan pulau terpencil mendapat akses kepada pendidikan.
"Inisiatif Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK) untuk kanak-kanak warganegara yang terpinggir dan tiada dokumen pengenalan diri juga akan diperluas," katanya ketika membentangkan Usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat pada Isnin.
Perdana Menteri berkata, pendidikan karakter yang menyokong konsep karamah insaniah akan diperkenalkan melalui pendekatan sistemik dan holistik, yang diharapkan dapat membangunkan jati diri murid ke arah menjadi bakat global yang dilengkapi dengan ilmu, beretika dan berakhlak mulia.
Beliau berkata, kerajaan beriltizam untuk mengislahkan sistem pendidikan bagi melahirkan bakat tersedia negara di masa hadapan, dengan konsep karamah insaniah akan memberi penekanan kepada aspek pembentukan akhlak dan pembangunan sahsiah bagi membentuk jati diri dan melahirkan generasi yang berdaya tahan serta berdaya saing.
Bagi meningkatkan mutu pendidikan negara, Perdana Menteri berkata, Dasar Pendidikan Digital (DPD) akan dilancarkan bagi melahirkan murid berkemahiran digital dalam era Revolusi Industri 4.0.
"Matlamat DPD adalah untuk melahirkan murid fasih digital yang berdaya saing menerusi peningkatan pengetahuan, kemahiran dan nilai. Antara inisiatif utama DPD adalah pelaksanaan program latihan peningkatan kompetensi digital pendidikan, penambahbaikan kurikulum program pendidikan dan pewujudan pasukan jauhari pendidikan digital," katanya.
Beliau berkata, pembangunan pendidikan yang berteraskan manusiawi secara holistik akan disokong dengan pembentukan modal insan yang berpengetahuan dan berkemahiran dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), manakala pendidikan Tingkatan 6 akan terus diperkasa melalui penjenamaan semula kepada Kolej Pra-Universiti.
"Kerajaan akan terus memastikan Bahasa Melayu yang merupakan Bahasa Kebangsaan dimartabatkan dalam sistem pendidikan sesuai dengan kedudukannya dalam Perlembagaan Persekutuan, di samping mempertingkatkan penguasaan bahasa asing sebagai wahana pembinaan tamadun,” katanya.
Anwar berkata kerajaan juga komited untuk memperkasa bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan tenaga pengajar bidang berkenaan akan digalakkan menjalani latihan kemahiran dan latihan kemahiran semula sekali gus melengkapkan mereka dengan pengetahuan yang seiring dengan perkembangan teknologi baru muncul.
"Bagi meningkatkan kerjasama antara kerajaan dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta syarikat swasta dalam transformasi program TVET, inisiatif menggalakkan penglibatan industri dalam pelaksanaan program TVET telah diberikan keutamaan," katanya.
Beliau berkata, sehingga Julai lepas sebanyak 43 memorandum persefahaman telah dimeterai antara kerajaan dengan 14 GLC dan 29 syarikat swasta melibatkan 12 kementerian berkaitan TVET, merangkumi skop kerjasama seperti sumbangan kepakaran, peralatan, pembangunan kurikulum dan penajaan latihan.
Di samping itu, kerajaan turut menyediakan peruntukan sebanyak RM40 juta bagi Program Bina Kerjaya iaitu program peningkatan kemahiran (upskilling) untuk pekerja tidak formal, termasuk pekerja gig dengan kelayakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan ke bawah.
"Kerajaan percaya keputusan untuk mengkaji peningkatan gaji lepasan TVET mampu mengubah persepsi masyarakat terhadap TVET sebagai laluan kerjaya," katanya.
Menyedari hampir 50 peratus lepasan SPM tidak menyambung pelajaran mereka ke peringkat lebih tinggi, kerajaan turut membuka ruang kepada anak muda untuk mula menceburkan diri lebih awal dalam sektor pembuatan sebagai pekerja berkemahiran dengan gaji berpatutan.
"Melalui inisiatif Akademi dalam Industri (AiI), kerajaan akan menyediakan dana khusus berjumlah RM209 juta bagi melaksanakan usaha ini termasuk penyediaan insentif elaun penempatan. Seramai 50,000 anak muda kita disasarkan mendapat pekerjaan berkemahiran dengan Sijil Kemahiran Malaysia pada akhir RMK12," katanya. - Bernama