KUANTAN - Barisan Nasional (BN) Pahang tidak akan sama sekali mengambil mudah cabaran Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, Bentong pada 7 Oktober depan.
Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sebaliknya parti itu akan bekerja keras bagi memastikan kerusi DUN Pelangai yang menjadi kubu kuat BN dipertahankan.
"Kita (BN) dalam keadaan macam mana sekali pun, kita akan terus bekerja kuat dan tidak ambil mudah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang akhbar selepas majlis pelancaran Buku Budi Pujangga di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Methodist Girl School, di sini pada Isnin.
Menjawab isu calon, Wan Rosdy menjelaskan enam nama calon yang berbakat dan potensi untuk menang sedang diteliti dan dikaji oleh pucuk pimpinan parti.
Ujarnya, perbincangan dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sedang diusahakan bagi mendapatkan persetujuan dan watikah dikeluarkan.
Dalam pada itu, Wan Rosdy memaklumkan kerjasama antara BN dan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi PRK DUN Pelangai sudah lama wujud termasuk ketika Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 (PRU15) DUN Tioman.
"Politik pun kena ada kerjasama baru ada senergi sebagai contoh kerjasama kerajaan perpaduan, kalau tiada kerjasama kerajaan tidak boleh ditubuhkan," ujarnya.
PRK DUN Pelangai diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun.
Pada 17 Ogos lalu, Johari antara 10 individu yang terkorban dalam nahas pesawat terhempas di Lebuhraya Guthrie berhampiran Bandar Elmina, Shah Alam.
Pada PRU15, Johari menang kerusi DUN Pelangai dengan majoriti 4,048 undi, menewaskan calon PN, Kasim yang mendapat 3,260 undi; Ahmed Wafiuddin Shamsuri daripada Pakatan Harapan (PH) (2,031 undi) dan Isa Ahmad daripada Pejuang (65 undi).