Remaja lemas ketika mandi parit bersama 11 rakan

Iklan
Anggota bomba menemukan mayat mangsa pada kedalaman tiga meter dalam parit di Ladang Seri Gading, Batu Pahat pada petang Ahad.

BATU PAHAT - [DIKEMAS KINI] Seorang remaja lelaki lemas semasa mandi dalam parit bersama 11 rakannya di Jalan Ladang Genting Estate, Ladang Seri Gading di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, pihaknya menerima maklumat berkenaan kejadian tersebut pada jam 6.45 petang.

Iklan
Iklan

"Bertindak atas maklumat itu pihak polis dan pasukan bomba menggerakkan usaha mencari dan menyelamat mangsa dengan kekuatan seramai 10 orang.

"Semasa mandi mangsa telah tergelincir ke tempat yang dalam dan cuba berpaut pada tangan salah seorang kawannya tetapi terlepas dan terus tenggelam," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Iklan

Beliau berkata, pihak bomba menemukan mangsa di dasar parit berkenaan pada jam 7.20 petang.

Katanya, pemeriksaan fizikal badan mangsa dan di sekitar tempat kejadian pihak polis tiada mengesyaki adanya unsur kejadian jenayah.

Iklan

Menurutnya, hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) di sini pada pagi Isnin mendapati punca kematian adalah disebabkan lemas.

Tambah beliau, kes dikategorikan sebagai mati mengejut.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Pahat, Pegawai Bomba Kanan II Ridwan Gembur berkata, 14 anggota dibantu dua buah jentera Fire Rescue Tender (FRT) serta dua Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.

"Mangsa telah lemas di kawasan parit yang berkedalaman 3 meter.

"Tindakan operasi membuat pencarian secara 'surface searching' menemukan mangsa pada jarak 3 meter dari tebing parit.

"Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang hadir," ujarnya.