KUALA LUMPUR - Program Subsidi Bersasar dijangka dapat dilaksanakan sepenuhnya bermula tahun hadapan setelah Sistem Pangkalan Data Utama (Padu) dilengkapi maklumat lengkap sosio ekonomi isi rumah di negara ini.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, Padu dijangka melalui tempoh percubaan mulai November ini sebelum dibuka kepada orang ramai pada Januari 2024.
Menurutnya, keutamaan kerajaan ketika ini adalah memastikan Padu telah lengkap dengan data diperlukan bagi memastikan tiada risiko keciciran berlaku.
"Apabila Padu sudah beroperasi dan dibuka kepada orang ramai pada Januari 2024, pandangan saya Insya-ALLAH. proses ini akan mula dilaksanakan.
"Program Subsidi bersasar akan bermula tahun 2024," katanya pada sidang akhbar di Lobi Parlimen pada Isnin.
Sebelum itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK12).
Mengulas mengenai mekanisme perlaksanaan subsidi bersasar, Rafizi berkata, sama ada ia menerusi pindahan tunai, berdasarkan pemberian kad khas atau agihan di pam stesen minyak, semuanya akan diputuskan dari masa ke masa.
"Keutamaan kita sekarang adalah maklumat sosio ekonomi isi rumah kena lengkap dulu dalam Padu.
"Itu lebih penting berbanding kita mahu guna kad pengenalan, pindahan (kredit) terus ke akaun atau mahu pakai pam," katanya.