KUALA LUMPUR - Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, memberi jaminan bahawa penambahan peruntukan RM15 bilion hasil Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK12) tidak akan menambah hutang kepada kerajaan.
Sebaliknya jelas beliau, peruntukkan tersebut mampu dihasilkan menerusi pendapatan kerajaan yang lebih baik untuk tempoh sehingga 2025.
Katanya, tambahan berkenaan juga dipersetujui mengambil kira jangkaan kita bahawa kita akan kekal dalam sasaran defisit 3.5 peratus menjelang 2025.
"Dana akan diperoleh hasil pertumbuhan ekonomi yang lebih baik, dan ia juga hasil daripada pembiayaan dan perbelanjaan yang lebih teratur di peringkat kerajaan
"Jadi dengan tatakelola lebih baik, kita yakin bahawa walaupun RM15 bilion itu satu tambahan, RM15 bilion itu juga adalah penjimatan daripada pelbagai perbelanjaan sedia ada yang kita boleh alihkan kepada perbelanjaan pembangunan untuk dua tahun akan datang," katanya pada sidang media di Lobi Parlimen pada Isnin.
Sebelum itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK12).
Rafizi berkata, KSP RMK12 yang turut menekankan fokus kerajaan untuk meningkatkan kemampanan fiskal membuktikan komitmen kerajaan untuk menambah hasil.
"Sumber hasil akan lebih pelbagai supaya lebih mampan. Perinciannya dalam tahun-tahun akan datang kerana ia melibatkan keputusan semasa kerajaan dari masa ke semasa," katanya.
Pada perbentangan KSP RMK12, Anwar berkata, kerajaan akan membelanjakan sepenuhnya peruntukan RM400 bilion di bawah RMK12, dan menambah siling sebanyak RM15 bilion lagi menjadikan jumlah keseluruhannya RM450 bilion.
Pada masa sama, kerajaan turut akan memberikan tumpuan kepada lima perkara pokok dalam melaksanakan pembaharuan fiskal memastikan pengurusan kewangan negara lebih berkesan dan mampan.