Al-Sultan Abdullah, Agong pertama berangkat ke Rumah Raymond Plen

Iklan
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melambaikan tangan ketika berangkat ke jeti Rumah Raymond Plen untuk aktiviti memancing, pada Isnin. - Foto Bernama

BINTULU - Rumah Raymond Plen yang terletak di Sebauh, kira-kira 44 kilometer dari Bintulu, memiliki sejarah tersendiri apabila rumah panjang kaum Iban itu pernah dikunjungi oleh dua Perdana Menteri sebelum ini.

Allahyarham Tun Hussein Onn, Perdana Menteri ketiga menjadi pemimpin negara pertama yang pernah menjejakkan kaki di rumah panjang itu pada 1979, diikuti Perdana Menteri keenam, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2015, kata Raymond Plen, 56, tuai rumah atau ketua rumah panjang itu.

Iklan
Iklan

"Hari ini satu lagi sejarah dilakar untuk Rumah Raymond apabila Yang di-Pertuan Agong berkenan melawat kami, ini adalah pertama kali Agong ke rumah kami,” katanya kepada Bernama.

Rumah sepanjang 53 pintu dengan 780 penduduk itu menjadi destinasi persinggahan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sempena konvoi Kembara Kenali Borneo yang memasuki hari kesembilan pada Isnin.

Iklan

Raymond berkata, walaupun pada asalnya rumah panjang tersebut merupakan rumah kaum Iban, setelah lima generasi, penghuninya kini terdiri daripada masyarakat pelbagai kaum dan agama.

"Rumah panjang ini sudah berada di sini lama dan saya adalah generasi kelima daripada nenek moyang kami dulu. Rumah yang asal telah hangus dalam kebakaran pada 1980-an dan dibina semula hingga sekarang sudah lebih 40 tahun.

Iklan

"Walaupun ini rumah panjang Iban, perkahwinan campur banyak berlaku, jadi rumah kami ini sekarang ada juga orang Melayu Islam, orang India malah orang putih (barat) yang duduk di sini,” katanya.

Keberangkatan tiba Seri Paduka berdua di rumah panjang itu telah disambut dengan persembahan tarian kebudayaan oleh Kelab Gagung Sarawak yang memperagakan pakaian tradisional pahlawan Iban.

Pasangan diraja itu kemudiannya turut berkenan menyertai aktiviti memasak, memancing serta pengurniaan sumbangan bantuan kepada asnaf.

Turut hadir, Pemangku Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Kerja Raya Datuk Seri, Alexander Nanta Linggi dan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom.

Kembara Kenali Borneo dari 3 hingga 13 Sept bermula di Tawau, Sabah dan berakhir di Telok Melano, Sarawak sejauh 2,154 kilometer menelusuri Lebuhraya Pan Borneo yang menghubungkan Sabah, Sarawak serta Brunei. - Bernama