KUALA LUMPUR – Situasi kritikal yang dihadapi Umno hari ini bukannya berpunca daripada hilangnya kepercayaan kepada Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semata-mata sebaliknya, pudarnya kepercayaan pimpinan dan ahli terhadap parti itu sendiri.
Penganalisis politik, Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berpendapat, masa depan Umno terletak sepenuhnya ditangan ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno untuk segera mengkaji pemulihan parti Melayu tersebut.
Dalam pada itu, langkah segera yang disyorkan ialah ketegasan dan kebijaksanaan Zahid untuk memanggil mesyuarat MT Umno bagi mengkaji masa depan Umno.
"Hilang kepercayaan bukan kepada Presiden tetapi kepada Umno, jadi tindakan segera diperlukan untuk memulihkan Umno. Kalau pun Presiden Umno letak jawatan, pengganti beliau perlu ambil tindakan pemulihan. Siapa yang boleh ganti Zahid?
"Saya rasa bukan isunya Presiden Umno perlu letak jawatan. Sebaliknya semua ahli MT patut mengkaji dengan segera masa depan Umno.
"Soalan yang memerlukan jawapan padu, siapa orang yang layak dan mampu untuk pulihkan kembali Umno? katanya kepada Sinar Harian.
Dalam pada itu, Nik Ahmad Kamal menegaskan dalam saat runcing ini, MT Umno harus menggalas tanggungjawab ini.
"MT harus rujuk akar umbi, pemilihan dulu mungkin belum jumpa mereka yang benar-benar dapat memulihkan Umno.
"Namun, secara keseluruhan banyak faktor yang mengakibatkan Umno jadi begini. Hilang kuasa dan terserlah salah guna kuasa semasa jadi kerajaan membuatkan rakyat hilang kepercayaan kepada Umno,” ujarnya.
Bagaimanapun, beliau berkata, ramai yang tidak mahu melihat Umno berkubur dan karam dari arena politik tanah air.
"Bukan saja ahli di akar umbi, malah mereka yang atas pagar pun mahukan Umno terus wujud.
"Buat masa ini, Zahid selaku Presiden Umno harus memikirkan jalan terbaik untuk Umno,” tegasnya.
Mengulas berkenaan tindakan keluar parti secara berjemaah ini, Nik Ahmad Kamal mengingatkan Bersatu agar melakukan tapisan ketat untuk menerima masuk pimpinan dan ahli Umno.
"Untuk masuk Bersatu perlukan tapisan yang ketat, keputusan ini amat bergantung kepada Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad.
"Nampak banyak tentangan daripada parti-parti lain dalam PH. Elok Tun Mahathir berhati-hati terima ahli Umno masuk dalam Bersatu,” katanya.