SKUAD Harimau Muda perlu melakar kemenangan ke atas Thailand dalam aksi terakhir Kumpulan H Kelayakan Piala Asia B-23 2024 di Stadium Chonburi pada Selasa untuk layak secara automatik ke pusingan akhir di Qatar tahun depan.
Keputusan seri atau kalah tidak akan menjamin tempat secara automatik dan terpaksa menunggu aksi pasukan lain untuk melihat sekiranya skuad negara berada dalam kelompok empat naib juara terbaik pada aksi kelayakan itu.
Pemain pertahanan kiri Harimau Muda, V Ruventhiran menyedari pasukan muda negara perlu meraih kemenangan dan sudah melakukan persediaan rapi menjelang perlawanan penting itu.
"Saya tahu penyokong Malaysia mahu kami menang perlawanan ini dan kami akan buat sehabis baik," katanya pada Isnin.
Malaysia dan Thailand ketika ini berkongsi enam mata, namun pasukan tuan rumah itu berada di kedudukan teratas Kumpulan H dibezakan kelebihan gol.
Dalam pada itu, Ruventhiran mengakui Harimau Muda sudah mendapat pengajaran berguna dan tidak rela menjadi mangsa pasukan Gajah Perang itu selepas dua aksi terakhir pada Sukan SEA di Kemboja dan Kejuaraan Bawah 23 tahun (B-23) AFF 2023 bulan lalu.
Menurutnya, pasukan negara akan turun dengan persembahan lebih berkualiti berbanding ketika menang menentang Bangladesh dan Filipina.
"Kami telah melakukan tugas yang bagus dalam dua perlawanan terakhir, tetapi ia lebih kepada persiapan untuk perlawanan besar menentang Thailand ini.
"Satu petanda yang bagus untuk konsisten dan tidak bolos dalam dua perlawanan. Untuk saya, ia belum cukup apa yang telah kita lakukan menentang Bangladesh dan Filipina. Kami perlu beraksi dengan lebih baik untuk menang ke atas Thailand," katanya.