KUALA LUMPUR - Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia memulih kepada 0.7 peratus tahun ke tahun (y-o-y) pada Julai 2023, dirangsang oleh sektor perlombongan dan elektrik, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, IPP kembali ke jajaran positif pada Julai 2023, merekodkan pertumbuhan tahun ke tahun berbanding - 2.2 peratus yang dicatatkan pada bulan sebelumnya.
"Peningkatan marginal pada Julai 2023 adalah disokong oleh pengembangan dalam sektor perlombongan pada 4.2 peratus (Jun 2023: -6.4 peratus) dan sektor elektrik sebanyak 1.5 peratus (Jun 2023: 2.8 peratus).
"Sementara itu, sektor pembuatan terus merosot, namun dengan penurunan yang lebih kecil iaitu 0.2 peratus berbanding negatif 1.6 peratus yang dicatatkan pada Jun 2023,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Bagi perbandingan bulan ke bulan (m-o-m), beliau menyatakan IPP turun sebanyak 1.8 peratus berbanding pertumbuhan positif 2.2 peratus pada bulan sebelumnya.
Mengulas lanjut, beliau berka, penurunan lebih kecil dalam pengeluaran pembuatan pada Julai 2023 adalah disokong oleh pengembangan dalam industri berorientasikan domestik sebanyak 6.0 peratus (Jun 2023: 4.1 peratus).
"Pertumbuhan itu didorong terutamanya oleh pertumbuhan dua digit sebanyak 11.9 peratus dalam pembuatan kenderaan bermotor, treler dan semi treler.
"Tambahan pula pembuatan produk logam yang direka, kecuali mesin dan kelengkapan serta pembuatan produk pemprosesan makanan turut menyokong pertumbuhan dengan masing-masing sebanyak 6.9 peratus dan 7.0 peratus,” katanya.
Sebaliknya, Mohd Uzir berkata, industri berorientasikan eksport yang merangkumi kira-kira dua pertiga daripada pengeluaran pembuatan, kekal dalam aliran menurun dengan - 2.7 peratus (Jun 2023: -3.9 peratus).
Penurunan itu dipengaruhi terutamanya oleh kemerosotan dalam pembuatan kok dan produk petroleum bertapis (-10.1 peratus), pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal (-9.0 peratus); dan pembuatan produk getah (-1.6 peratus), katanya.
"Ini juga adalah selari dengan prestasi eksport negara yang jatuh 13.1 peratus pada Julai 2023. Berbanding bulan sebelumnya, pengeluaran sektor pembuatan menurun 4.3 peratus,” jelas beliau lagi.
Mohd Uzir turut menekankan bahawa pengeluaran dalam sektor perlombongan meningkat kepada 4.2 peratus pada Julai 2023 berbanding - 6.4 peratus yang dicatatkan pada Jun 2023.
Kenaikan tersebut dipacu oleh minyak mentah dan kondensat yang mencatatkan pertumbuhan dua digit sebanyak 11.8 peratus (Jun 2023: -4.5 peratus), manakala gas asli mencatatkan penurunan yang lebih kecil
0.8 peratus (Jun 2023: -7.8 peratus) pada bulan ini, katanya.
Berbanding Jun 2023, beliau menegaskan indeks perlombongan berkembang sebanyak 8.0 peratus berbanding penurunan 7.7 peratus yang dicatatkan pada bulan sebelumnya.
Sementara itu, beliau berkata, pengeluaran elektrik meningkat sebanyak 1.5 peratus pada Julai 2023, berikutan pertumbuhan 2.8 peratus pada bulan lalu. Berbanding bulan sebelumnya, indeks elektrik meningkat 1.8 peratus, selepas mencatatkan penurunan sebanyak 5.3 peratus pada Jun 2023.
"IPP berkembang pada kadar yang lebih perlahan sebanyak 1.2 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya (Januari - Julai 2022: 6.4 peratus) dengan semua sektor mencatat pertumbuhan positif iaitu indeks pembuatan (1.4 peratus), indeks perlombongan ( 0.3 peratus) dan indeks elektrik (1.6 peratus),” tambahnya. - Bernama