ALOR SETAR - Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Kedah Cawangan Kota Setar mengakui ada penjaja dan peniaga kecil makanan dalam dilema sama ada perlu menaikkan harga jualan atau tidak berikutan terpaksa membeli beras import akibat kekurangan bekalan beras tempatan.
Pengerusinya, Mohd Kholib Hamid berkata, peniaga terpaksa membeli beras import yang kini mencecah RM38 untuk satu kampit beg beras 10 kilogram (kg) di pasaran.
Mohd Kholib berkata, peniaga dan penjaja makanan memerlukan bekalan beras setiap hari untuk berniaga nasi berlauk, nasi ayam, nasi goreng dan sebagainya.
"Bukan sekarang (harga) bekalan beras (import) naik harga tetapi sebelum ini naik harga. Kenaikan ini bukan sekali (tetapi) dua tiga kali," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Beliau berkata, harga beras import hanya sekitar RM12 untuk kampit lima kg sebelum naik kepada RM14 dan kini mencecah RM17 hingga RM18.
Mohd Kholib mengakui harga beras tempatan sememangnya murah berbanding beras import, namun bekalan beras tempatan tidak mencukupi.
"Tidak cukup (beras tempatan). Beras tempatan perlu ada banyak demi menggalakkan peniaga dan penjaja kecil untuk membuat pilihan.
"Namun, bila masuk kedai runcit atau kedai borong (ketika ini), ada beras import sahaja.Jadi, tiada pilihan," katanya.
Disebabkan itu beliau menerangkan, peniaga dan penjaja kecil makanan tidak memiliki pilihan lain, selain membeli juga beras import walaupun perlu menanggung modal lebih tinggi.
"Jikalau, kita hendak naikkan harga. Kita juga bimbang pelanggan terkesan dan merungut dengan perkara itu.
"Inilah dilema peniaga dan penjaja kecil makanan apabila kami terpaksa membeli barang dengan kenaikan harga," katanya.
Sehubungan itu, menurut Mohd Kholib, pihaknya berharap pihak berkaitan dapat mengambil tindakan segera dalam menangani masalah kekurangan bekalan beras tempatan dan kenaikan harga beras import ini.
Beliau berkata, kerajaan diharapkan prihatin dengan masalah kekurangan bekalan beras tempatan di pasaran, sekaligus perlu memastikan ia mencukupi untuk menampung keperluan semua.
Tambahan pula, kongsi Mohd Kholib, peniaga dan penjaja kecil turut berdepan dilema lain iaitu pembeli makin berkurangan berikutan kuasa membeli menurun.
"Mereka kurang berminat untuk membeli makanan-makanan ini dengan harga yang tinggi," katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau meminta pihak bertanggungjawab turun memantau bekalan beras tempatan di kedai borong demi memastikan ia sentiasa cukup.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan kenaikan harga beras import di pasaran diakui memberikan kesan kepada kos operasi restoran dan kedai makan yang menggunakan beras jenis tersebut.
Pengarah Restoran Ahmad Foo-Halal Chinese Foodstyle, Ahmad Fuad Marzuki, 34, berkata, kira-kira 120 hingga 160 kilogram (kg) beras import digunakan di enam outletnya setiap hari.