MTPN terima 30 aduan kenaikan harga beras tempatan di JB

Iklan
Gambar hiasan - Foto 123RF, gambar kecil: Noorman Kamsani

JOHOR BAHRU - Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) menerima 30 aduan setakat ini berkenaan kenaikan harga beras putih tempatan antara RM33 hingga RM39 untuk setiap pek 10 kilogram (kg) di daerah ini.

Sehubungan itu Yang Dipertua MTPN, Noorman Kamsani menggesa pihak berkuasa memantau kegiatan segelintir peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga beras putih tempatan terutama di daerah ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, beras putih tempatan dicari pelanggan selepas harga beras import naik.

"Namun tinjauan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak lain di beberapa buah pasar raya di sini mendapati bukan sahaja harga mahal tetapi pelanggan berdepan kesukaran mendapatkan stok beras tempatan kerana cepat habis.

Iklan

"Tidak mustahil berlaku penipuan dengan menukar pek atau label beras putih tempatan kepada beras putih import dan dijual pada harga jualan runcit beras putih import," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Kerajaan sebelum ini memaklumkan akan melaksanakan beberapa langkah segera untuk mengatasi isu kekurangan beras di pasaran.

Iklan

Berdasarkan infografik di laman X Kem Ekonomi, pengilang disyaratkan menyerah 20 peratus stok padi kepada Bernas selain melantik Fama, Felda dan Felcra untuk memasarkan beras tempatan ke kawasan terjejas bekalan.

Usaha lain ialah menubuhkan pasukan khas untuk memantau penipuan atau campuran beras import dan tempatan; pemeriksaan besar-besaran bagi mengelak penyelewengan; mengehadkan pembelian beras maksimum 100kg dan melancarkan talian aduan pengguna.

Selain itu, infografik juga menunjukkan terdapat dua jenis beras dijual di pasaran iaitu beras putih tempatan (harga dikawal kerajaan) dan beras putih import (harga tidak dikawal kerajaan).

Antara faktor beras import semakin mahal kerana harga ditentukan negara pengeksport dan perubahan iklim dunia yang menjejaskan pengeluaran bekalan.