RUU Tanggungjawab Fiskal dibentang Oktober ini

Iklan
Anwar ketika mempengerusikan Mesyuarat FPC pada Isnin.

PUTRAJAYA - Rang Undang-undang (RUU) Tanggungjawab Fiskal (FRA) akan segera dibentangkan di Parlimen Oktober ini.

Perkara itu dicapai sebulat suara menerusi mesyuarat Jawatankuasa Dasar Fiskal (FPC) yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin.

Iklan
Iklan

Anwar dalam satu kenyataan memaklumkan FRA digubal bersesuaian dengan konteks Malaysia dijangka dapat menambah baik rangka kerja perundangan fiskal negara.

Menurutnya, FRA mengandungi prinsip pengurusan fiskal yang kukuh dengan memberi penekanan kepada tata kelola, kebertanggungjawaban dan ketelusan dalam pengurusan kewangan awam.

Iklan

Perdana Menteri berkata, jawatankuasa telah meneliti unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), kedudukan fiskal kerajaan dan rangka kerja fiskal jangka sederhana untuk penyediaan Belanjawan 2024 dan berpendapat terdapat ruang untuk terus menambah baik strategi, tata kelola dan kecekapan dalam pengurusan kewangan negara.

Tambahnya, ia termasuklah merangka strategi dan inisiatif bagi memantapkan lagi pengurusan hasil negara untuk memastikan kemampanan penjanaan hasil.

Iklan

"Pada masa yang sama, kerajaan akan meneruskan usaha bagi meningkatkan kecekapan perbelanjaan serta mengurangkan ketirisan dan pembaziran.

"Dalam hal ini, langkah konsolidasi fiskal akan terus dilaksanakan secara berperingkat bagi membina semula ruang fiskal selain mengurangkan paras hutang dan liabiliti," ujarnya.

Tegas Anwar, dalam melaksanakan reformasi fiskal adalah penting untuk mengimbangi keperluan pengembangan ekonomi dan menjaga kebajikan rakyat.

"Walaupun terpaksa melakukan reformasi yang mungkin memedihkan untuk memperluas hasil negara dan menutup ketirisan daripada subsidi pukal, kita juga perlu cakna akan tantangan kos sara hidup dihadapi rakyat, lebih-lebih lagi dalam suasana ekonomi global tidak menentu,” jelasnya.

Dalam pada itu, Anwar berkata, beliau tidak pernah berganjak dalam memastikan reformasi fiskal itu sama sekali tidak membebankan rakyat yang memerlukan.

"Reformasi fiskal ini masih perlu mengambil kira perbelanjaan untuk merancakkan ekonomi dan pelaburan.

"Maka, jujukan dan skop reformasi fiskal mesti dipertimbangkan agar ia tidak membawa kejutan yang drastik kepada ekonomi mahu pun rakyat,” katanya.