PETALING JAYA - Majlis Bandaraya Petaling Jaya mendapat pengiktirafan Bandar Mesra Kanak-Kanak oleh Tabung Kanak-Kanak oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF).
Timbalan Datuk Bandar Petaling Jaya, Aznan Hassan berkata, MBPJ merupakan pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama dalam negara yang menerima pengiktirafan itu.
Menurutnya, pengiktirafan itu diperoleh pada minggu lalu di Sepanyol dan Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohamad Azhan Md Amir mewakili MBPJ untuk menerima anugerah tersebut di sana.
"Seramai 24 orang pelajar berumur enam hingga 17 tahun telah dipilih sebagai child council atau ahli majlis kanak-kanak yang akan hadir Mesyuarat Penuh MBPJ bagi mengasah bakat kepimpinan mereka," katanya ditemui pada pelancaran Ekspo Buku Petaling Jaya (PJBX) 2023 di Dewan Sivik MBPJ pada Isnin.
Tambahnya, MBPJ akan menyediakan taman mesra kanak-kanak di Taman Jaya yang projek itu akan dibangunkan dengan mendapat input dan pandangan ahli majlis kanak-kanak bagi kelengkapan fasiliti tersebut.
"Ia akan menjadi identiti Bandar Mesra Kanak-Kanak MBPJ seperti yang dilaksanakan negara-negara lain.
"Sudah tentu pengiktirafan yang diperoleh ini merupakan kebanggaan kepada MBPJ yang telah berusaha selama empat tahun untuk ke arah itu," katanya.