SHAH ALAM - Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) bersama Global Peace Mission (GPM) Malaysia dan Malaysia for Syria (MFS) bersedia dengan sebarang kemungkinan termasuk menghulurkan bantuan kepada mangsa gempa bumi di Maghribi.
Presiden ABIM, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, pihaknya kini sedang memantau situasi semasa sebelum melakukan sebarang tindakan lanjut.
Iklan
Iklan
"Bagi pihak seluruh rakyat Malaysia, ABIM ingin mendoakan kesejahteraan mereka yang sedang diuji oleh tragedi gempa bumi ini," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Sebelum itu, menurut kenyataan Kementerian Dalam Negeri Maghribi menyatakan sekurang-kurangnya 2,122 orang terbunuh manakala 2,421 cedera akibat gempa bumi berukuran 7.0 magnitud berkenaan.
Sebanyak 1,351 orang dilapor terbunuh di Wilayah Al Haouz, 492 di Wilayah Taroudant, 201 di Chichaoua, dan 17 di Marrakesh.
Pada Ahad, Kementerian Luar Negeri memaklumkan bahawa tiada rakyat Malaysia yang terjejas di negara itu.
Menterinya, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir mengeluarkan arahan kepada Duta Besar Malaysia di Maghribi untuk membuat pemantauan secara berterusan dan melaporkan situasi di lokasi kejadian gempa bumi.