KUANTAN - Pengendali Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1), Anih Berhad menempatkan kakitangan operasi sepanjang 24 jam susulan kejadian mendapan tanah yang mengakibatkan rekahan jalan di kilometer (KM) 118.2 ke KM117.8 arah barat ke Kuala Lumpur pada Ahad.
Anih Berhad dalam satu kenyataan pada Isnin berkata, langkah-langkah segera telah diambil untuk memantau secara visual dalam usaha menangani isu kegagalan tambakan projek tebatan banjir Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT 1) di laluan terbabit.
Menurut kenyataan itu lagi, setakat ini, tiada pergerakan baharu yang direkodkan di kawasan kejadian.
"Namun pihak syarikat dengan kerjasama kontraktor telah menempatkan penanda enapan bagi meneruskan pemantauan keadaan semasa.
"Pada waktu siaran, Anih Berhad serta pihak perunding sedang menjalankan kajian terperinci untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian," katanya.
Tambahnya, kerja-kerja pembaikan akan dilaksanakan segera oleh pihak kontraktor setelah penyiasatan tapak secara menyeluruh selesai dilakukan dan cadangan pembaikan bersesuaian dikemukakan pihak jurutera perunding.
"Sebagai langkah segera, Anih Berhad telah menutup sepenuhnya laluan ke Kuala Lumpur dan mengaktifkan sistem laluan kontra dari KM 116.5 sehingga KM 119.4 di laluan timur pada jam 4.15 petang Ahad dengan kerjasama dua pasukan ERT dan pihak IPD Temerloh bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku di lokasi," jelas kenyataan itu.
Dalam pada itu, Anih Berhad menasihati pengguna agar merancang perjalanan mereka dan memandu secara berhemah serta mematuhi arahan petugas di lokasi.
Bagi mendapatkan informasi tepat dan terkini, para pengguna disarankan untuk mengikuti saluran rasmi media sosial ANIH Berhad di Facebook (@Lebuhraya Pantai Timur) dan Twitter, (@LPTTrafik) serta Lembaga Lebuhraya Malaysia di Twitter (@llmtrafik) dan Facebook (@Lembaga Lebuhraya Malaysia).
Untuk sebarang kecemasan, sila hubungi LPT - Line di 1-700-818-700 atau LLM di 1800-88-752.