PENYANYI Shila Amzah mengumumkan untuk berhenti menggunakan media sosial seketika.
Ujar bintang berusia 33 tahun itu, media sosial menjadi tempat yang agak toksik buatnya kini.
"Jadi saya 'chow' (pergi) dulu," tulisnya ringkas.
Biarpun tidak berkongsi sebab berbuat demikian, ada yang meneka tindakan Shila atau nama sebenarnya Nurshahila Amir Amzah didorong rasa kecewa dengan komen netizen yang mengkritik pakaiannya ketika muncul di Konsert HausBoom Music 2023 pada Ahad.
Pada konsert itu, Shila tampil mengenakan jaket merah jambu yang dipadankan dengan tshirt berwarna krim pada bahagian dalam.
Namun kelincahan dan angin yang bertiup membuatkan jaket Shila sering terselak sehingga menampakkan bentuk perut Shila.
Bukan itu sahaja, kontroversi rumah tangga kedua ibu bapanya juga seolah menjadi punca isteri pempengaruh media sosial, Ubai MZ itu berbuat demikian.
Usaha untuk mendapatkan komen lanjut daripada pelatun lagu Jauh Hati itu setakat ini masih belum berhasil.