Kutipan sampah di Selangor meningkat 30 peratus

Iklan
Kira-kira 80 anak-anak yatim dan asnaf diraikan dalam Majlis Iftar KDEB Waste Management 2019.
SHAH ALAM - Jumlah kutipan sampah melibatkan 11 kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) diuruskan KDEB Waste Management Sdn Bhd meningkat sehingga 30 peratus sejak awal Ramadan ini.

Pengarah Urusan KDEB Waste Management, Ramli Mohd Tahir berkata, peningkatan jumlah itu dijana melalui aktiviti memasak di rumah, premis perniagaan dan juga bazar Ramadan selain membabitkan sampah-sampah pukal pengguna.

Menurutnya, situasi itu sudah dijangka dan pihaknya sentiasa bersedia melaksanakan kutipan sampah seperti yang dijadualkan.

"Ada kawasan PBT yang meningkat 20 hingga 30 peratus. Contohnya di Klang sebelum bulan puasa kita ambil 750 tan sehari tetapi dalam bulan puasa terdapat tambahan 20 peratus lagi. Untuk keseluruhan Selangor, kita kutip 5,200 tan sampah sehari, berlaku peningkatan 1,000 tan sampah sehari.

"Peningkatan jumlah sampah ini melibatkan sampah domestik terutamanya yang dijana dari bazar Ramadan dan juga sampah pukal yang orang buang sebab orang membuat persiapan perayaan seperti potong pokok, buang perabot lama dan sebagainya," katanya ditemui pada Majlis Iftar KDEB Waste Management 2019, di sini, semalam.

Pada majlis itu, lebih 1,000 tetamu diraikan termasuk semua kakitangan, anak syarikat dan keluarga, 80 anak-anak yatim dan asnaf serta warga media.

Ramli berkata, penganjuran iftar itu merupakan program tanggungjawab sosial korporat dan tanda penghargaan semua pihak yang bekerjasama melaksanakan amanah dalam menguruskan sisa pepejal di Selangor.

"Pada majlis ini juga KDEB Waste Management Sdn Bhd memberikan sumbangan duit raya kepada anak-anak yatim dan asnaf.

"Dalam masa sama, sebagai penghargaan dan terima kasih kepada orang awam, sumbangan turut diberikan kepada Shareh Nasrullah Shareh Roselin atas keprihatinan dan keberanian membantu pekerja pembersihan awam yang diganggu dan dipukul sekumpulan lelaki mabuk di Ampang pada 13 April 2019," katanya.